Saya baru menjalani pembedahan kecil untuk membuang gigi geraham bongsu. Gusi saya masih lagi mengeluarkan darah walaupun selepas beberapa jam pembedahan dilakukan.
Soalan saya, adakah sah solat yang saya lakukan semasa gusi masih berdarah dan secara tidak langsung saya akan tertelan darah tersebut semasa menunaikan solat?
*************
wa'alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr squid dengan kadar yang termampu, Insyaallah.
Permasalahan solat begini jatuh didalam bab solat orang yang sakit, uzur atau keadaan dalurat. Islam mewajibkan umatnya bersolat 5 waktu setiap hari, baik didalam keadaan apa sekali pun, cuma keadaan kesempurnaan solat itu berbeza mengikut kemampuan sendiri. Menurut Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam bukunya Fiqh al-Tahaarah bahawa "syariat Islam sangat prihatin kepada keadaan (condition) dan kehendak (hajat) dengan kadarnya, sehingga di syariatkan kepada (keringanan)ruhsah dan hukum mengandungi pengeculian yang sesuai dengan keadaan mereka, dengan memerhatikan kelemahan mereka".
Scenario solat didalam keadaan berdarah (bukan darah haidh dan binatang yg haram, yang ternyata najis) bukanlah merupakan sesuatu yang asing didalam sejarah Islam. Imam al-Bukhari menyebut bahawa Hasan berkata, umat Islam biasa bersolat sedangkan mereka berkeadaan luka. Ibnu Umar membalut bisul yang masih keluar darah tanpa mengulangi wudhu'nya dan Ibn Abi Awfa berludah darah namun beliau meneruskan solat. Begitu juga Umar bin Al-Khattab bersolat sedangkan darah masih mengalir dari lukanya. Disana juga terdapat khilaf yang menyatakan bahawa selain dari darah binatang yang diharamkan dan darah haidh, kenajisan darah yang lain masih dipersoalkan, dan ada yang berpandangan bahawa darah (selain dari 2 jenis dari yg disebutkan) itu tidak najis sepertimana kata Syiekh Nasyiruddin Al-Albani.
Terdapat beberapa keadaan solat yang boleh dilakukan ketika menghadapi permasalahan ini. Seseorang itu boleh melakukan jama' ta'khir bagi solat tersebut. Ibn Taimiyah berkata :
والصواب أن الجمع لا يختص بالسفر الطويل بل يجمع للمطر ويجمع للمرض كما جاءت بذلك السنة في جمع المستحاضة فإن النبي صلى الله عليه وسلم أمرها بالجمع في حديثين
"Pandangan yang benar ialah menjama' solat bukanlah terhad kepada perjalanan yang panjang, bahkan [di bolehkan] menjama' semasa hujan, menjama' semasa sakit, sebagainya datangnya riwayat dari sunnah mengenai seorang wanita yang menghadapi istihaadah (darah yang bukan haidh yang tidak menentu), dan Nabi saw memberitahunya menjama'kan 2 solat, sebagaimana yang disebut didalam 2 hadith" - [al-fataawa al-Kubra, 1/49].
Didalam fatwa al-Lajnah al-Daa'imah (bernombor 5440) ada membincangkan permasalahan seorang wanita tidak boleh mengawal air kencingnya kerana penyakit yang dihadapinya, katanya :-
إذا كان الأمر كما ذكر : فإنها تصلِّي على حسب حالها ، ولا مانع من جمعها الظهر والعصر في وقت أحدهما ، وهكذا المغرب والعشاء ؛ لعموم أدلة يسر الشريعة على أن يكون وضوؤها للظهر والعصر بعد دخول الوقت ، وهكذا المغرب والعشاء يكون وضوؤها لهما بعد دخول الوقت .
"Sebagaimana kenyataan yang dinyatakan : maka sesungguhnya dia bersolat mengikut keadaanya, dan tidaklah dilarang menjama; Zohor dan Asar pada masa waktu kedua-duanya, Magrhrib dan Isya', kerana makna umum dalil yang menunjukkan bahawa syriah Islam memberi keringan, tertakluk kepada wudhu'nya untuk solat Zohor dan Asar dillakukan tatkala masuk waktu, begitu juga dengan Maghrib dan Isya' dilakukan selepas waktunya bermula."-[Fataawa al-Lajnah al-Daa'imah li al-Buhooth al-'Ilmiyyah wa al-Ifta, 8/85]
Dalil-dalil dan pandangan-pandangan diatas menunjukkan didalam keadaan dalurat, kemudahan (taisir) diberikan didalam Islam kepada umatnya bagi mereka melaksanakan rukun Islam yang kedua ini. Darah sedikit yang bercampur air liur yang tertelan secara tidak sengaja tidaklah membatalkan solat didalam keadaan yang tidak dapat dielakkan. Perlu di nyatakan juga disini ialah, meludah didalam solat bukanlah perkara yang terlarang. Sebagaimana yang diriwayatkan didalam sebuah hadith bahawa Nabi saw membenarkan orang yang bersolat meludah kain (sapu tangan) atau dibawah kakinya semasa bersolat [hadith riwayat al-Bukhaari #500].
Anda juga boleh merujuk kepada url dibawah ini dari ruangan arkib al-ahkam :-
1. SJ - 3202: Solat sahabat ketika cedera
http://www.al-ahkam.com.my/forum2/viewtopic.php?t=23232
2. SJ-2545: hukum darah pacat mengalir semasa sembahyang
http://www.al-ahkam.com.my/forum2/viewtopic.php?t=12573
WA, wassalam
==========
Rujukan :
1. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Fiqh Al-Tahaarah. Kaherah : Maktabah Wahbah, 2001.
2. Al-Sayyid Saabiq. Fiqh al-Sunnah - 1. Kansas City : Manaar l-Dauliyyah, 1995. ms 28-29.
3. Fataawa al-Lajnah al-Daa'imah li al-Buhooth al-'Ilmiyyah wa al-Ifta - 8. cetakan ke 3. Riyad : Dar al-Mu'ayyad, 2000. ms 85.
Sheikh Hj Kamin - AAN
0 comments:
Post a Comment