Monday, December 8, 2008

Mengapa Qiblat Ke Barat?

Assalamu'alaikum Ustaz - Ustaz sekalian.

Saya ada pertanyaan iaitu :

1 - Mengapakah qiblat itu berada di Barat ?.

2 - Boleh tak kalau kita sembahyang dengan mengadap ke arah Timur, sebab bukankah bumi ini bulat , jadi kalau kita mengadap ke Timur pun, kita tetap menemui arah qiblat kita ?.

Maafkan saya kalau soalan ini agak pelik dan tidak teratur.

Terima Kasih.



وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم

*~(( بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ ))~*

(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah, berdasarkan butiran-butiran berikut adalah merupakan jawapan-jawapan bagi setiap soalan yang diajukan menurut pengetahuan kami yang sedikit , yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala :

Sepatutnya soalan seperti ini diajukan kepada Ahli Geografi supaya boleh dijelaskan secara terperinci dan lebih baik, walau bagaimana pun kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan saudari mengajukannya kepada kami. Mudah-mudahan dengan ilmu agama yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala itu kepada kami, walaupun sedikit, dapat kiranya kami gunakan untuk memahami pula ilmu-ilmu kehidupan ini mengikut neraca timbangan syariat yang mulia ini.

QIBLAT ertinya arah / jurusan kita di dalam sembahyang. Maka sudah tentulah qiblat kita ialah Kaabah Al-Musyarrafah di Masjidil Haram yang berada di negeri Mekkah Al-Mukarramah, Arab Saudi. Dan kedudukan Mekkah Al-Mukarramah pula berada di Garisan Lintang ( Latitud ) 21 U dan di Garisan Bujur ( Longitud ) 40 T menurut peta dunia ini. Oleh kerana itulah, kita di Malaysia mengadap ke arah Barat Laut kerana di situlah terletaknya qiblat kita.

Manakala bagi penduduk Republik Arab Mesir pula, mereka bersembahyang dengan mengadap ke arah Tenggara kerana di situlah pula qiblat bagi mereka. Dan apabila datangnya musim sejuk, qiblat itu tetap ke arah itu Cuma matahri pula kelihatan naik daripada pihak Timur Laut kerana condongnya pergerakan matahari ( tidak betul-betul berada di atas kepala kita di waktu tengahari ).

Maka sudah tentulah pula berbeza di antara arah qiblat lantaran berbezanya kedudukan sesebuah negeri dan tempat. Yang pentingnya ialah apabila bersembahyang, kita mengadap ke jurusan Kaabah Al-Musyarrafah.

Fahamilah ayat-ayat Al-Quran berikut berdasarkan Tafsir Al-Furqan,oleh almarhum Kiyai A. Hassan bagi Surah Al-Baqarah ayat 149 – 150, ms 41, cetakan Pustakan Aman Press, Kota Bharu.


*~(( وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِنَّهُ لَلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ وَمَا اللّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ))~*

Ayat 149 : “ Dan daripada mana sahaja engkau keluar, maka hendaklah engkau hadapkan mukamu ke pihak Masjid yang mulia itu (1) kerana sesungguhnya (perintah menghadap) itu sebenarnya dari Tuhanmu ; dan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.


*~(( وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلاَّ يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلاَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنْهُمْ فَلاَ تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ))~*

Ayat 150 : “ Dan dari mana pun kamu keluar , maka hendaklah engkau hadapkan mukamu ke pihak Masjid yang mulia itu; dan walau di mana pun kamu ada , hendaklah kamu hadapkan muka-muka kamu ke pihaknya, supaya tidak jadi alasan bagi orang-orang itu buat mencela kamu (2) , kecuali dari orang-orang yang zalim dari mereka. Lantaran itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan kerana Aku hendak sempurnakan nikmat-Ku atas kamu (3) dan supaya kamu terpimpin”.

Nota Kaki :

(1) Kalau engkau keluar dari Mekkah, dari timurnya, baratnya, utaranya, selatannya, maka pada waktu solat, hendaklah engkau menghadap ke jurusan Baitullah itu.

(2) Supaya kamu tidak dicela oleh kaum Yahudi dengan perkataan : “ Kalau betul kamu menurut agama Ibrahim, mengapa kamu tidak menghadap kiblatnya ?”.

(3) Yakni, Aku perintah kamu menghadap Kaabah itu adalah sebagai satu kurnia daripada-Ku kepada kamu.

Ya ! di mana sahaja kita berada maka qiblat kita ialah di Masjidil Haram. Namun, andainya kita sudah tidak mengetahui lagi di manakah arahnya, maka kewajipan sembahyang itu tetap wajib dilaksanakan, Cuma arah qiblat ketika itu ialah sebagaimana ajaran Allah Ta’ala Ta’ala di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 115 :

*~(( وَلِلّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ اللّهِ إِنَّ اللّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ))~*

“ Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat. Lantaran itu, ke mana sahaja kamu menghadap, maka di situ ada keredhaan Allah, kerana Allah itu luas (rahmat-Nya) , lagi Amat Mengetahui”.

***********************
Menjawab soalan ke-2 daripada saudari ;

“ Mengadap “ ertinya ialah : Menjadikan sesuatu berada di bahagian / jurusan / pihak hadapan kita. Lawan “ mengadap ”ialah “ membelakangi “.

Ya ! memang kalau kita ke Timur , kita tetap akan sampai ke Mekkah Al-Mukarramah, bukan sahaja ke arah Timur , bahkan ke Utara dan Selatan sekalipun kita tetap akan menemui Negeri Mekkah Al-Mukarramah itu kerana bumi ini diciptakan di dalam keadaan bulat . Ya ! itu di luar sembahyang.

Tapi di dalam sembahyang, kerana kita tidak dibenarkan bergerak-gerak sejauh itu seperti seorang pengembara, maka tak dapat tidak hendaklah kita tetap mengadap ke arag qiblat kita, bukannya membelakanginya. Maka, disebabkan disebabkan qiblat bagi kita di Malaysia ialah di sebelah Barat Laut, maka apabila kita mengadap ke Timur, tidaklah dapat dikatakan bahawa kita telah mengadap qiblat.

Contohnya : Saudari seorang guru yang memerintahkan seorang murid saudari mengadap papan hitam. Adakah patut murid itu membelakanginya dengan alasan ianya tidak mengapa kerana bumi ini bulat !?.

Maka, kiaskanlah contoh ini dengan masalah “ mengadap “ dan “ membelakangi “ Kaabah Al-Musyarrafah.

Begitulah jawapan-jawapan berdasarkan soalan-soalan yang tersurat, walhal Allah Ta’ala Lebih & Maha Mengetahui setiap apa yang tersirat.

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

10 / Jumadi Tsani / 1423 H
19 / Ogos / 2002 M

3 comments:

Anonymous said...

ye sy sokong dgn jawapan itu sbb sy pon da terkena soalan cmni

Anonymous said...

jd kalau sy akn pg ke finland nanti, kiblat pada kompas pd arah mane ye?

lg 1 nk tny, jika saya hanya pergi 1 bulan ke finland, solat boleh di jamak kn, tp sy berkerja shif ptg yg mungkin melibatkn solat zuhur dan asar..saya rasa di sana tiada tpt solat dan selalu nye kerja sbgai nurse tdk ada masa rehat sehingga hbs shif 7 jam..bagaimana saya nk solat zhur dan asar tu?

Admin said...

dapatkan arah kiblat dari jemaah di finland.

seperti doktor dan polis, nurse juga terlibat dengan masalah darurat. Jika tidak ada cara untuk dapatkan waktu mendirikan solat, gunakan masa rehat tengahari utk jamak zuhur dan asar.

kalau ikut mazhab Shafie anda hanya boleh qasar dalam masa 3 hari sahaja di sana, hari ke 4 kena solat penuh. Kalau mengikut Ibn Taimiyah anda layak untuk qasar sebulan penuh di sana.

terpulang kepada pilihan anda.

Post a Comment