Tuesday, December 9, 2008

Bacaan Tidak Lancar

Salam

1)Adakah sah bacaan ketika mana seseorang itu menahan air liur (disebabkan keluar makanan dari celah2 gigi)?Makhraj betul,tapi bunyi kalau guna mike macam kurang sikit.

2)Apa hukumnya sekiranya seseorang itu bekerja dgn syarikat yang ada urusniaga dgn syarikat tembakau(Dunhill,Kent).Katakan syarikat ini syarikat IT atau audit.

Wassalam

============

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************
SJ – 2243 : BACAAN TIDAK FASIH & HALAL-HARAM-SYUBHAT DALAM PENDAPATAN

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara talfiq . Maafkan kami kerana agak terlambat membalas soalan-soalan saudara .

JAWAPAN PERTAMA :

Nampaknya agak pelik juga soalan saudara . Namun kami akan cuba menjawabnya sekadar sedikit ilmu pengetahuan yang Allah Ta’ala berikan kepada kami . Insya-Allah.

Soalan pertama saudara ini kita akan pecahkan kepada dua soalan:

1 – Permasalahan sisa-makanan yang masih melekat di celah gigi ketika melakukan sembahyang.

2 – Permasalahan bacaan di dalam sembahyang yang diragui kefasihannya menurut Ilmu Tajwid .

Masalah Pertama :

Sisa makanan yang melekat di celah gigi sebenarnya tidaklah membatalkan sembahyang seseorang jika ianya agak sukar untuk dihilangkan ( khasnya bagi mereka yang mempunyai gigi yang berlubang ataupun yang rapat ) .

Lagipun , niat seseorang yang menelan sisa makanan itu bukanlah untuk makan dan minum di dalam sembahyang . Inilah pendapat pilihan kami berdasarkan beberapa perbahasan ulama’ berkaitan masalah ini . ( Lihat Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuh , Jilid ke-II , ms 1030 , Fasal ke- 7 : Mubtilat as-Solah Wa Mufsidatuha : Al-Akl Wa asy-Syurb ) .

Namun , jika saudara masih ragu-ragu lagi mengenai jawapan di atas , maka kami menyarankan:

1 – Silalah berus gigi anda ataupun membersihkan gigi anda sebelum menunaikan solat kerana ianya adalah sunnah drp Baginda Rasulullah s.a.w . Dan kalau selepas memberus ataupun membersihkan gigi ( termasuk berkumur-kumur ) masih ada lagi sisa-sisa makanan di celah gigi, maka itu adalah perkara yang dimaaafkan kerana kesukaran untuk mengatasinya .

2 – Saudara boleh mengeluarkan sisa makanan itu di dalam sembahyang dengan cara meludah ke sapu tangan ataupun ekor kain serban ( yang diletakkan di antara bahu dan tengkuk ) . Ini tidak membatalkan sembahyang kerana ianya tidak dianggap najis .

3 – Air liur yang mengganggu kefasihan bacaan seseorang itu juga boleh diselesaikan masalahnya dengan cara di atas , ataupun menelannya kerana menelan air liur tidaklah membatalkan sembahyang dan juga puasa seseorang.

Masalah Kedua :

Selagi makhraj seseorang itu betul ketika membaca ayat-ayat al-Quranul Karim ( khasnya Surah Al-Fatihah ) dan ianya tidak sampai mengubah sesuatu makna ayat-ayat Al-Quranul Karim secara sengaja ataupun diniatkan untuk mengubahnya , maka tidaklah mengapa. ( Lihat Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuh , Jilid ke-II , ms 1030 , Fasal ke- 7 : Mubtilat as-Solah Wa Mufsidatuha : Bab ke-11: Al-Lahn fil Qiraah Au Zullatul Qari’ ) .

Rata-rata orang-orang Islam sendiri masih kurang fasih di dalam Ilmu Tajwid , khasnya yang berkaitan dengan makhraj huruf ( sebutan ) , maka kalau kita mewajibkan semua umat Islam mestilah 100 % betul dengan cara bacaan Tajwid dan cara sebutan orang-orang Arab , maka sampai bilakah seseorang itu baru boleh bersembahyang ?.

Contohnya : Ada yang menyebut SOD ( ص ) dengan SIN ( س ) dan TSA ( ث ) . Ada pula yang sukar membezakan bacaan di antara FA ( ف ) dengan PA ( ^ف ~ hanya ada dlm tulisan Jawi ) . TO ( ط ) dengan TA ( ت ) . HA ( ه ) dengan HAA ( ح ) .

Yang penting dan wajib ialah belajar terlebih dahulu Ilmu Tajwid dengan sedaya-upaya termasuklah membetulkan sebutan-sebutan huruf-huruf dan hukum-hakam asas di dalamnya . Jangan lupa , mempelajari Ilmu Tajwid adalah fardhu ‘ain ke atas setiap umat Islam .

Tapi kalau lidah sudah telo ataupun pelat seperti susah menyebut huruf RO ( ر ) , sedangkan usaha sudah pun digembeling, maka tidaklah berdosa . Kerana kalau berdosa , sudah tentu ramai umat Nabi Muhammad s.a.w yang akan masuk neraka kerana pelat dan telo , hatta orang-orang Arab sendiri ada yang menghadapi masalah sebutan dan tajwid.

Jika seseorang itu memang mempunyai masalah di atas , maka tidaklah sepatutnya di tampil untuk menjadi imam di dalam sembahyang kerana imam yang paling layak mengetuai sembahyang ialah mereka yang paling fasih bacaannya dan yang paling tahu mengenai Kitab Allah Ta’ala dan Sunnah Rasulullah s.a.w .

JAWAPAN KEDUA :

Masalah kerja adalah satu masalah yang agak rumit kerana di zaman moden ini kerja-kerja itu sudah begitu banyak jenis dan rupanya .

Selain itu , kalau kita terlalu meluaskan skop HARAM dan SYUBHAT di dalam bidang pekerjaan , sudah tentu tidak ada seorang pun di kalangan umat Islam yang selamat daripada kedua-duanya . Kalau tidak terlibat secara langsung sudah pasti secara tidak langsung . Dan kalau tidak terjerumus , pasti debu-debu haram dan syubhat akan mengenainya jua.

Lantaran itu , tidak boleh kita terlalu meluaskan skop haram dan syubhat , kerana ia akan membawa kepada kesukaran yang amat sangat di dalam hidup , sedangkan Islam adalah agama yang memudahkan kehidupan manusia ( PERHATIAN : Sila fahami istilah memudahkan dengan memudah-mudah ataupun ambil mudah = sambil lewa ) .

Untuk menjawab perosalan saudara di atas , kami akan memberikan beberapa gambaran, dan daripada situlah saudara sendiri boleh perbandingkan dengan soalan saudara .

CONTOH PERTAMA :

Seorang pengawal keselamatan am ( Si A ) diminta untuk bertugas menjaga keselamatan sebuah apartmen . Dan di apartmen itu sendiri didiami oleh orang-orang Islam dan sebaliknya , dan didiami pula oleh orang-orang yang baik dan sebaliknya . Jadi , adakah Si A dianggap berdosa jika ada satu pasangan di apartment itu melakukan dosa dan maksiat ?.

Dan kalau Si A tidak bersembahyang tapi ada penghuni-penghuni di apartment itu yang menunaikan sembahyang , adakah ini bermakna Si A juga mendapat pahala dan terlepas drp dosa ? .

CONTOH KEDUA :

Si B ditugaskan untuk mengawal sebuah rumah di dalam apartmen di atas . Ertinya Si B adalah pengawal keselamatan khas / peribadi ( private security / bouncer ) , manakala Si A tadi adalah pengawal keselamatan am .

Kalau di dalam rumah tadi yang dijaga khas oleh Si B ada pasangan yang melakukan maksiat , adakah Si B tidak berdosa ? .

CONTOH KETIGA :

Si Yeop berkerja di sebuah pejabat tanah di bawah pentadbiran seorang D.O ( Pegawai Daerah ) . D.O ini pula “ makan suap “ ( terima rasuah ) . Adakah gaji yang diterima oleh Si Yeop ini syubhat ataupun haram kerana ada D.O nya yang : makan suap “ ? .

CONTOH KEEMPAT :

Si Mamat berkerja di sebuah sekolah kepunyaan kerajaan 100 % . Sedangkan pendapatannya itu berasal daripada sumber yang bercampur-campur di antara halal , haram dan syubhat . Adakah ini bermakna Si Mamat dan mana-mana umat Islam tidak boleh mengajar di sekolah-sekolah milik kerajaan !? .

CONTOH KELIMA :

Si Meor berkerja sebagai seorang pemotong rumput dengan sebuah SYARIKAT MAJU BERSIH SDN.BHD . Pihak syarikat ini pula menerima tender daripada berbagai-bagai pihak , termasuklah syarikat-syarikat arak . Si Meor pada hari Isnin ditugaskan memotong rumput di Pejabat JPJ dan pada hari Selasa pula di Kilang Anchor Beer . Adakah kerjanya pada hari Selasa itu menyebabkan dia berdosa kerana makan hasil haram ataupun syubhat ? .

CONTOH KEENAM :

Si Kulop pula berkerja sebagai pemotong rumput khas dengan syarikat Carlsberg . Jadi majikan Si Kulop tidaklah sama dengan majikan Si Meor ( di atas tadi ) . Apakah ini bermakna gaji Si Kulop Halal sebagaimana gaji Si Meor ? .

CONTOH KETUJUH :

Si Azazil berkerja dengan Genting Bhd sebagai seorang pengawal keselamatan am yang menjaga pintu masuk utama ke kawasan Genting Highland . Sedangkan sumber utama Genting Bhd ialah berasaskan perjudian . Maka adakah halal gaji Si Azazil itu ? .

Sudahkan saudara memerhatikan semasak-masaknya 7 contoh di atas dan mendapatkan jawapannya !? .

Setelah saudara memerhatikan ketujuh-tujuh contoh di atas , maka jawapannya bagi soalan kedua saudara ialah : Gaji yang diterima oleh seseorang yang bertugas sebagai seorang juru audit ataupun akauntan di sebuah syarikat yang ada hubungannya dengan sebuah syarikat rokok adalah HALAL , walaupun rokok itu sendiri HARAM ataupun MAKRUH dihisap ! .

Orang-orang Islam kadang-kadang perlulah bertanya kepada dirinya sendiri apabila bertembung dengan permasalahan hidup dan kerja seperti ini .

“ Tepuklah dada dan tanyalah iman anda ! “ . Yang halal dan benar itu ialah sesuatu yang tidak lagi diragu-ragui oleh fitrah dan naluri kita dan dirasai ketenangannya . Sedangkan yang haram dan dosa itu ialah sesuatu yang menyebabkan hati berdebar-debar dan diragui pula keharusannya . ( Mafhum hadist yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad rh dan Al-Imam ad-Darimi rh ) .

Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

P/s : Gangguan yang berlaku pada web al-Ahkam online telah menyebabkan terganggu proses-proses kiriman jawapan . Harap Maaf .

****************************************

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

FATAWA MU’ASIROH I – III ( FATWA KONTEMPORARI )
Oleh : Al-‘Allamah Asy-Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ( ha )

HALAL WAL HARAM FIL ISLAM
( Halal & Haram Dalam Islam )
Oleh : Al-‘Allamah Asy-Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ( ha )
http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/

AHSANUL KALAM FIL FATAWA
Oleh : Al-‘Allamah Asy-Syeikh ‘Atiah Saqr ( ha )
( Bekas Pengerusi Lujnah Fatwa Al-Azhar )

AL-FIQHUL ISLAMIY WA ADILLATUH ( Vo1 2 )
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily ( ha )
Terbitan : Darul Fikr al-Mu’asir , Beirut

Penerangan Lisan Drp Syeikh Soleh Hamdi As-Sisi ( MA – Hadist Al-Azhar )

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
7 / Dzulhijjah / 1423 H
8/ Febuari / 2003 M

0 comments:

Post a Comment