Wednesday, December 17, 2008

Imam Sujud Sahwi Tak Diikut Makmum

Soalan 1.
Ketika saya Solat Subuh berjemaah dimasjid, Imam tertinggal membaca
doa Qunut,di akhir solatnya imam tersebut sujud sahwi ... tetapi beberapa orang
makmum tidak serta mengikutinya, sujud sahwi.
Persoalannya: Adakah sah solat orang yang tidak menyertai sujud sahwi
tersebut?? .... kerana dibisik-bisik oleh imam; menyatakan solat orang yang tidak mengikut sujud sahwi itu adalah tidak sah.

Harap dapat penjelasan.

Soalan 2
Dalam satu solat berjemaah (Zohor) imam didapati terlupa rakaatnya dan
ditegur oleh makmun dengan mengata "Subhanallah".
Diakhir solatnya imam sujud sahwi tetapi tidak diikuti oleh makmum
kerana makmum beranggapan mereka bukannya orang yang terlupa.
Persoalannya : Bagaimana dengan solat tersebut?? ....

Soalan 3
Solat berjemaah dengan anak-anak yang belum baligh.... Perlu niat imam atau tidak??

Jawab soalan 1 & 2:
Antara perkara yang perlu dipatuhi dalam mengerjakan sembahyang berjamaah ialah muafaqah makmum dengan Imam. Maksudnya, apa yang imam buat, makmum kena buat. Jika makmum tidak mengikuti apa yang Imam buat, sembahyangnya batal. Tidak kira samada perbuatan itu rukun seperti rukuk, sujud dan sebagainya, atau perbuatan sunat.
Namun tidak semua perbuatan sunat yang makmum wajib ikut. Ada yang tidak wajib ikut.

Contoh perbuatan sunat yang membatalkan: Imam terlupa untuk sujud tilawah, manakala makmum sujud tilawah. Atau sebaliknya, imam sujud tilawah, makmum tidak. Batal sembahyang makmum jika dia tahu perkara itu tidak dibenarkan, atau jika dia sengaja lakukan.

Contoh lain, imam tidak buat tahiyat awal, manakala makmum buat. Batal juga sembahyang makmum.
Tapi... Kalau imam buat tahiyat awal, manakala makmum tidak buat. Dia dengan sengaja bangun, maka tidak batal sembahyangnya. Pasai apa? Kerana dia berpindah kepada rukun yang lain iaitu qiyam (berdiri). Walaubagaimanapun, dia disunatkan kembali semula untuk buat tahiyat awal.

Contoh lain lagi, mengenai masalah yang saudara hadapi: Imam buat sujud sahwi kerana sebab-sebab tertentu, manakala makmum tak buat, batal sembahyang makmum. Kerana tak muafaqah dengan imam.

Ringkasnya begini, pada perbuatan sunat, makmum wajib ikut apa yang imam buat pada tiga sunat, iaitu: a) Sujud tilawah pada hari sembahyang subuh hari Jumaat
b) Sujud sahwi d) Tahiyat awal.

Doa qunut? Makmum tak wajib ikut imam. Mahu ikut imam pun boleh, tak mahu ikut pun boleh.


Jawapan 3
Alhamdulillah inilah jawapannya:

(1)
Sembahyang kanak-kanak atau apa sahaja yang membabitkan soal-soal ibadah, sah atau tidak? Ibadah mereka diterima oleh syarak atau tidak? Contohnya sembahyang fardu, mereka wajib kerjakan atau tidak. Kalau mereka punya banyak wang, wajib keluarkan zakat atau tidak? Kalau tiba bulan puasa, dan mereka berpuasa, puasa mereka sah atau tidak?
Ya, sembahyang fardu yang lima, kalau mereka telah berusia 7 tahun mereka wajib disuruh agar menunaikannya. Manakala kalau telah mencecah usia 10 tahun, kalau tak sembahyang penjaga (wali) wajib merotannya.

Mahu mendirikan sembahyang wajib bersuci (wuduk dan sebagainya). Wajib juga tahu membaca fatihah. Wajib juga tahu rukun-rukun sembahyang, samada fi'li seperti sujud ataupun qauli seperti membaca fatihah. Pointnya ialah ---> Apabila wali diwajibkan menyuruh anak-anak mereka bersembahyang bermakna wali juga diwajibkan menunjuk ajar perkara-perkara di atas tadi. Tak buat berdosa. Kalau tak mampu, boleh panggil guru atau hantar kepada guru atau sekolah-sekolah agama.

Kalau mereka ada harta dan sampai nisab untuk berzakat, wajib keluar zakat.

Kalau mereka berpuasa dibulan Ramadhan dengan sempurna, puasanya juga diterima.

(2)
Sembahyang berjamaah pula....
Menurut jumhur ulamak, Imam tidak diwajibkan niat sebagai imam. Sembahyangnya tetap sah. Dan makmum dibelakang akan memperoleh pahala berjamaah. Tetapi, imam tidak akan memperoleh pahala berjamaah. Jika tok imam mahu pahala itu dia perlulah niat sebagai imam.
Para ulamak fikah sependapat mengatakan bahawa makmum wajib berniat sebagai makmum ketika takbiratul ihram. Jika tidak berniat, batal sembahyang makmum.

(3)
Antara syarat wajib mengerjakan sembahyang ialah mukallaf. Syarat wajib ialah--> Siapa-siapa dia yang wajib mengerjakan sembahyang. Manakala syarat sah --> Syarat untuk menjadikan amalan itu sah dan diterima. Di dalamnya tidak menyebutkan baligh sebagai syarat. Kalau baligh bukan sebagai syarat sah sembahyang bermakna sembahyang kanak adalah sah.
Jika begitu, bermakna kanak-kanak boleh menjadi makmum. Apabila mereka berniat menjadi makmum, maka sembahyangnya diterima. Dan kalau saudara mahu pahala berjamaah, hendaklah saudara berniat sebagai imam. Kalau kanak-kanak itu sembahyangnya diterima, hendaklah wali mengajarnya niat jadi makmum.

Kanak-kanak bukan sahaja boleh menjadi makmum, bahkan jadi imam pun boleh. Di bawah ini saya nukilkan perkara ini dari kitab jawi klasik Sabilul Muhtadin, vol 2, hal. 39:
"Makruh berimamkan orang yang kuluf (belum berkhitan), samada yang telah baligh ataupun masih kanak-kanak lagi......"

Bermakna kalau kanak-kanak itu telah berkhitan, tidak makruh hukumnya.

Dan lagi, jika makmum hanya seorang diri (hal. 30):
"Sunat bagi seorang makmum lelaki , jika dia itu kanak-kanak sekalipun, berdiri di belakang sedikit dari imam sebelah kanan. Kerana jika dia berdiri di sebelah kiri atau belakang imam adalah makruh hukumnya serta dapat meluputkan fadilah berjamaah..."

(4)
Di atas, ibadah kanak-kanak hanya sah dan diterima oleh syarak, bukannya diwajibkan ke atas mereka. Kanak-kanak belum dibebankan oleh Allah dengan hukum-hakam syarak. Apabila mereka tidak mengerjakan sembahyang, mereka tidak akan berdosa. Siapa yang berdosa? Ibubapa atau wali mereka.
Di dalam Islam, tidak ada konsep --> Orang lain buat salah, kita pula yang tanggung dosa.
Islam dasarnya ialah --> Kita buat salah, kita yang tanggung dosanya. Orang lain buat salah orang itulah yang tanggung sendiri dosanya.

Jika begitu, mengapa anak yang tak sembahyang, kita yang kena tanggung dosanya?

Begini.... Dosa tersebut bukanlah dosa semata-mata sebab anak itu tidak sembahyang, tetapi dosa sebab bebanan hukum lain ke atas kita yang tidak dilaksanakan. Iaitu bebanan yang dikenakan oleh Rasulullah ke atas kita:
"Suruhlah anakmu sembahyang apabila mencecah usia 7 tahun. Rotanlah apabila mencecah usia 10 tahun..."

Dosa yang di tanggung adalah kerana kita tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wali sebagaimana yang telah digariskan oleh Nabi. Bukannya dosa atas anak tak sembahyang.

Kami berharap, jawapan ini jelas dan mudah difahami. Dan jangan lupa.. Kunjungi lagi aL-AHKAM online!

Wallahu a'lam.

Zain_ys

Rujukan
1. Mughnil Muhtaj - Syeikh Muhamad alKhatib al-Syarbini, vol 1
2. Al-Feqhul Islami Wa adillatuh - Dr Wahbah al-Zuhaili, vol 2 *
3. Sabilul Muhtadin - Syeikh Muhamad Arshad al-Banjari vol 2**
4. I'anah al-Thalibin - Syeikh Muhamad Satha al-Dimyathi vol 1

3 comments:

cikgu salwa said...

Alhamdulillah...byk info yg diperlukan blh didptkan di sini..trima ksh

cikgu salwa said...

Alhamdulillah...byk info yg diperlukan blh didptkan di sini..trima ksh

Unknown said...

Assalamualaikum, adakah wajib makmum mengikut imam yang sujud sahwi selepas salam, selepas imam memberi salam solat isyak, imam tersebut sujud sahwi kerana terlupa tahyat awal tetapi makmum tidak ikut kerana makmum menyangka solat sudah habis, adakah solat makmum itu sah??

Post a Comment