Wednesday, December 17, 2008

Hukum Pakai Cincin Dalam Solat

Salam

apakah hukumnya jika kita memakai cincin ketika sembahyang?adakah haram atau halal?menurut ustaz saya memakai cincin ketika sembahyang adalah sah manakala penceramah agama di masjid di taman perumahan saya berkata memakai cincin ketika sembahyang adalah batal.tetapi saya tak jumpa nas-nas yg membuktikan halal atau haram memakai cincin ketika sembahyang.Bolehkah ustaz terangkan kpd saya?

Wassalam



<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara Petapa . Amat menarik dan ganjil soalan ini . :crazy2

Hukum asal memakai cincin adalah HARUS .

Jika memakai dengan niat untuk mengikuti sunnah Baginda Rasulullah s.a.w yang memakai cincin perak maka hukumnya adalah SUNNAH dan diberikan pahalanya oleh Allah Ta’ala .

Bagi orang lelaki pula , memakai cincin ( gelang dan rantai ) emas adalah satu perkara yang HARAM ( ditegah oleh agama ) . Ini satu perkara yang telah dimaklumi oleh hampir kesemua umat Islam .

Adapun kenyataan penceramah itu ( sebagai mana dakwaan saudara ) :

“ Sesiapa yang bersembahyang dengan memakai cincin maka sembahyangnya batal ( tidak sah ) “ .

Maka kenyataan itu boleh ditinjau drp beberapa sudut :

1 – Kemungkinan saudara TERsalah dengar .

2 – Kemungkinan penceramah itu TERsalah cakap .

3 – Kemungkinan penceramah itu hendak bermain “ teka-teki “ dengan audiensnya seperti : “ Sesiapa yang bersembahyang dengan memakai cincin maka sembahyangnya batal ! “ .

Memanglah batal kalau dia HANYA bercincin tetapi tidak berpakaian menutup aurat .

Memanglah batal kalau dia yang bercincin itu terkentut di dalam sembahyangnya .

Memanglah batal sembahyang dia yang bercincin itu jika dia tidak memenuhi syarat-syarat sah sembahyang .

4 – Ataupun kenyataan itu sebenarnya memang begitu . Kalau dah memang begitu maka TIDAK SYAK LAGI IANYA TIDAK BETUL .

Menurut pengetahuan saya yang sedikit ini , saya TIDAK PERNAH BERTEMU PUN dengan satu dalil pun yang menyatakan bahawa sesiapa yang memakai cincin ketika bersembahyang , maka sembahyang itu tidak sah .

Apatah lagi di dalam kitab-kitab Fiqh yang membahaskan mengenai perkara-perkara yang membatalkan sembahyang tidak menyebut pun kenyataan seperti itu .

Hatta , jika diandaikan bahawa CINCIN ITU ADALAH HASIL PENCURIAN maka sembahyang itu tetap sah ( selagi memenuhi syarat-syarat sah sembahyang ) . Samalah kesnya dengan seseorang yang mencuri sehelai kain sarung untuk bersembahyang , maka sembahyang itu tetap sah , Cuma perbuatan mencuri itu tetaplah haram . :spamafote

Saya nasihatkan saudara pergilah bertanya kembali penceramah tersebut dan mohon dijelaskan apakah alasan , dalil dan sebab dia mengatakan kenyataan itu sebelum ini.

Dan kalau penceramah itu tetap berkeras mengatakan pendapatnya itu betul , maka nyatakanlah kepadanya sebagai mana yang diajar oleh Allah Ta’ala di dalam Surah al-Baqarah , ayat 111 :

قُلْ هَاتُواْ بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Ertinya : “…datangkanlah bukti-bukti kamu jika kamu memang orang-orang yang benar “.


Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
20 / Safar / 1424 H
22 / April / 2003 M

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

CINCIN PERAK : PERLUKAH ADA BATU DI ATASNYA ?

Postby nameless »
:salam

Saya ada satu kemushkilan berkenaan bentuk cincin perak utk dipakai oleh kaum lelaki. Adakah sunnah Nabi SAW mempunyai cincin yg berbatu di atasnya?

Adakah harus hukumnya jika memakai cincin perak yg tiada batu di atasnya? Maksudnya cincin yg kosong?

Jawab:
Postby pendekar »

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara nameless yang mengemukakan soalan di atas . Saya memohon ribuan kemaafan lantaran kelewatan menjawab soalan saudara .

Merujuk kepada soalan saudara di atas , maka berikut adalah jawapannya dengan izin dan taufiq daripada Allah Ta’ala .

Baginda Rasulullah s.a.w memang pernah memakai cincin yang dibuat daripada perak dan ianya mempunyai cop mohor yang bertulis “ MUHAMMADUR RASULULLAH “ yang digunakan untuk mengecop surat-surat rasmi Kerajaan Islam di bawah pimpinan Baginda Rasulullah s.a.w ketika itu .

Selain itu dinyatakan juga bentuk batu cincin itu sebagai mana di dalam hadist berikut :

Ertinya : Drp Saidina Anas r.a dia berkata : “ Sesungguhnya cincin Baginda Nabi s.a.w itu dibuat daripada perak dan batunya berwarna habasyi” ~ Hadist diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud rh { Sila rujuk ‘AUNUL MA’ABUD SYARH SUNAN AL-IMAM ABU DAUD ( RH ) , Oleh : Al-Imam Al-Muhaddist Abu Taiyyib Muhd Syamsul Haq al-‘Azim Abadi ( rh ) , Jilid ke-11 , ms 213 .Terbitan : Darul Fikr, Beirut 1995 } .

Erti “ habasyi “ di dalam hadist di atas ialah sejenis batu berwarna hitam yang dikenali sebagai ‘AQIQ .

Inilah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan menjadi sunnah kepada mana-mana orang daripada kalangan umatnya jika mahu meniru cara dan gaya Baginda Rasulullah s.a.w di dalam memakai cincin .

Namun usahlah diberat-beratkan diri sendiri dengan berusaha mencari apa-apa yang tidak dinyatakan secara spesifik ( khusus ) oleh Baginda Rasulullah s.a.w . Apabila mahu memakai cincin perak yang berbatu ‘aqiq …ya , silakan sahaja , mudah-mudahan pahala kerana mengikuti sunnah itu menjadi milik saudara .

Namun tak perlulah susah-susah pula bertanya ( sbg mana sebhg umat Islam ) : “ Batu ‘Aqiq itu jenis macam mana pula ? “ , “ Batu ‘Aqiq tu mesti dibeli di Mekkah ke ? “ , “ Batu ‘Aqiq yang dijual di Jln Masjid India tu sunnah ke kalau dipakai ? “ .

Silalah jangan menyusahkan diri kita sendiri pada perkara yang tidak dituntut oleh agama kita yang memudahkan umatnya ini .

Selain itu suka saya nyatakan di sini , di antara batu-batu yang dijadikan sebagai perhiasan ( batu ) cincin itu ada yang mempunyai KHASIATNYA . Ini merupakan salah-satu tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala . Khasiatnya pula ada berbagai bergantung kepada jenis batu ataupun kayu yang dijadikan batu cincin itu .

Ada diantaranya mampu ( dengan izin Allah Ta’ala pastinya ) merawat demam , menawarkan racun , menyejukkan tubuh .

Ada pula yang digunakan dengan cara merapatkan batunya dengan jari si pemakainya agar terasa kesan ( khasiat ) batu itu , seperti ia mampu menstabilkan sistem dalaman badan seseorang .

Itulah di antara khasiat batu cincin . Khasiat ini bukanlah satu perkara yang pelik dan bukanlah pula sesuatu yang ganjil memandangkan batu-batu cincin itu sendiri ada yang berasal daripada gali-galian bumi dan ada pula yang berasal drp pokok-pokok yang berkhasiat .

Cuma jangan cakap cincin itu BERKUASA pula ! . Cincin itu samalah macam Panadol , ia tiada kuasa , sebab kuasa ( kuasa sebenar dan mutlaq ) hanyalah pada Allah Ta’ala . Allah Ta’ala jugalah yang Maha Memberi Manfaat dan Maha Mendatangkan Mudharat ( wal’iyadzubiLahi Min Aiyi Dhoror ) .

Adapun hukum memakai cincin Perak tanpa batu di atasnya , maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu HARUS ( Boleh ) . Cuma , kalau saudara mahu mendapat pahala sunnah , saudara digalakkan mencari cincin yang mempunyai batu ‘Aqiq di atasnya .

Walau bagaimana sekalipun, ianya bukanlah sesuatu yang mesti dilaksanakan oleh kita . Dan yang paling penting ialah kita tidak memakai cincin itu untuk riyak dan bermegah-megah kerana kemegahan dan kesombongan itu hanyalah hak mutlaq Allah Ta’ala selaku TUHAN sekalian alam .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

4 comments:

Anonymous said...

asalamualaikum.. saya mempunyai wafak yg bertulisan emas menggunakan ayat haikal 7.. boleh kah kita org islam menggunakan wafak ini??bagaimana pula seperti saya yg hanya menggangap wafak itu hanya sebagai perantaraan untuk mncapai tujuan dan berpegang kepada kuasa mutlak ALLAH S.W.T??saya ada bace beberpa hadis di internet.. tetapi saya tidak yakin dsbbkan ada nabi bersabda tidak mengapa dan ada sabda nye yg tidak boleh.. jadi menimbulkan kemusykilan saya di situ.. boleh tuan jelas kan secara terperinci mengenai hal nie kepada saya?terima kasih

Admin said...

W'salam
memang terdapat dua pendapat berbeza tentang wafaq yg ditulis ayat alQuran. ada ulamak mengatakan harus dan ada ulamak mengatakan haram. Tujuan untuk apa wafaq ini dipakai harus dikaji terlebih dahulu supaya tidak mendekati unsur-unsur syirik.

sila baca keterangan berikut:
http://pmram-manhal.blogspot.com/2010/11/hukum-menggunakan-tangkalazimat-dan.html

Anonymous said...

kalau pakai cincin platinum....haram tak bagi lelaki?

Anonymous said...

salam...sah atau x jika kite tidak membuka cincin ketika berwuduk?

Post a Comment