Monday, January 19, 2009

Solat Qabliyah Maghrib

assalamu'alay-kum...

sblm ini, apa yg selalu ana dengar dan sememangnya pendapat yg sedang ana pegang >> TIADA SOLAT SUNAT QABLIYYAH MAGHRIB...

namun, sewaktu berbual dgn seorang sahabat... dia menceritakan bhw terdapatnya suatu hadith >> x silapnya dlm SAHIH BUKHARI ; yg menerangkan keSAHIHAN amalan tersbut...

benarkah begitu?

HAdith manakah yg dimaksudkan itu >> jika betul ada...

atau... adakah di sana terdapat perbezaan di kalangan SYARAH PARA ULAMAK terhadap hadith tersebut?

WA

**************
Wa'alaikumussalam.

Alhamdulillah. kami akan cuba menjawab soalan sdr VHoutenJr dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Solat sunat sebelum Maghrib merupakan solat sunat yang diperselisihkan dikalangan ulama. Menurut Ensaiklopedia Fiqh Kuwait :-

ذهب الحنفية والمالكية إلى كراهة التنفل قبل صلاة المغرب ; لقوله صلى الله عليه وسلم : { بين كل أذانين صلاة إلا المغرب } . والمراد بالأذانين : الأذان والإقامة , فبين أذان الصبح وإقامته سنة الفجر , وبين أذان الظهر وإقامته سنة الظهر القبلية , وبين أذان العصر وإقامته أربع ركعات مندوبة عند الحنفية , وبين أذان العشاء وإقامته أربع ركعات مندوبة عند الحنفية إلا المغرب لقصر وقته ، وقال الحنابلة : هما جائزتان , وليستا بسنة

"Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan makruh melakukan solat sunat sebelum Maghrib ; kerana sabda Nabi saw {Diantara setiap dua azan (azan dan iqamah) ada solat kecuali Maghrib}. Diinginkan dari Dua Azan ialah : Azan dan Iqamah, iaitu diantara azan Subuh dan Iqamah didirikan sunat Fajar, diantara Azan Zohor dan Iqamat didirikan solat sunat Qabliyah Zohor, diantara azan Asar dan Iqamat, didirikan 4 rakaat sunatnya disisi Hanafi, diantara azan Isya' dan Iqamahnya didirikan 4 rakaat disisi Hanafi, melainkan Maghrib kerana pendik waktunya, maka berkata Hanbali : ia adalah dibolehkan dan bukannya sunnah"

Dan berkata Mazhab Syafie : Solat 2 rakaat sebelum Maghrib adalah sunat yang Sahih sebagaimana berkata Imam al-Nawawi didalam dalil yang beliau datangkan didalam al-Mughni, diantaranya :-

Dari Abdullah bin al-Muzni : Bersabda Rasulullah saw :

صلوا قبل المغرب ركعتين . قال : ثم قال : صلوا قبل المغرب ركعتين . قال : ثم قال : صلوا قبل المغرب ركعتين لمن شاء . خشية أن يتخذها الناس سنة

"Bersolatlah sebelum Maghrib 2 rakaat, [kemudian] baginda bersabda : Bersolatlah sebelum Maghrib 2 rakaat. [kemudian] baginda bersabda : Bersolatlah sebelum Maghrib 2 rakaat bagi mereka yang ingin merlakukan. Takut akan orang akan mengambilnya sebagai sunnah" - Muttafaq alaih

Dari Abdullah bin al-Magfl, berkata : Bersabda Rasulullah saw :

بين كل أذانين صلاة . قالها ثلاثا , ثم قال في الثالثة : لمن شاء

"Diantara setiap dua Azan itu ada solat. Beliau menyebutnya 3 kali dan kali yang ketiga baginda berkata :'bagi sesiapa yang ingin melakukan'" - [di riwayatkan oleh Muslim]

Berkata Ibn Qudamah didalam al-Mughni : 2 rakaat selepas azan Maghrib; maka yang jelas perkataan Imam Ahmad : ia adalah dibolehkan dan bukan sunnah.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi didalam Fataawa Mua'syirah jilid 1 mengatakan bahawa tidak terdapat solat sunat Qabliyyah Maghrib yang bertaraf sunat mua'adkkad. Beliau menjelaskan bahawa solat sunnat muaakad Qabliyyah dan Ba'diyyah ada 10 rakaat sebagaimana hadith yang didatangkan oleh Ibn Umar ra dan lain2, bahawa Nabi saw bersolat :-

ركعتان قبل الصبح، وركعتان قبل الظهر وركعتان بعدها، وركعتان بعد المغرب، وركعتان بعد
العشاء.

"2 rakaat sebelum Subuh, 2 rakaat sebelum Zohor dan 2 rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas Maghrib dan 2 rakaat selepas Isya'"

Tambahan beliau bahawa solat Witir juga termasuk diantara solat yang dijaga oleh Rasulullah saw . Dan didalam hadith2 yang lain baginda menjadikan 2 rakaat sebelum Zohor kepada 4 rakaat. Beliau mengatakan bahawa hendaklah 10 rakaat ini perlu dijaga oleh semua orang Islam, kerana ia sebagai penyempurna kepada solat yang fardu, dimana ia menjadi penampal dan pengimbang kepada kelalaian, mengenapkan solatnya dihari akhirat dan dikira sebagai ganjaran pada masa amalan dihisabkan.

Telah datang dalil bahawa Nabi saw bersabda :

بين كل أذانين صلاة

"Di antara 2 azan terdapat solat sunat" - [Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, para penulis Al-Sunan], dengan maksud diantara Azan dan Iqamat pada setiap solat boleh dilakukan solat sunat".

Pada pandangan beliau (al-Qaradhawi) bahawa :-

فصلاة ركعتين إذن بعد الأذان وقبل الإقامة مشروعة ومستحبة فإذا صلاها بعض الناس في وقت المغرب فلا بأس بذلك . كما أن من دخل المسجد له أن يحييه بركعتين.

"Solat 2 rakaat selepas Azan dan sebelum Iqamat adalah menurut syara' dan mustahab, dan jika sebahagian dari manusia pada waktu maghrib melakukannya, maka tidaklah mengapa. Sebagaimana apabila seseorang memasuki masjid melakukan solat sunat tahiyat al-masjid 2 rakaat"

Beliau menambah : jika Imam melakukan solat Maghrib terus-menerus selepas Azan Maghrib, maka pada masa itu wajib makmum menturuti perbuatan Imam. Beliau menasihatkan Imam agar berselang-seli menunaikan solat sunat sebelum Maghrib, kerana ibadat tersebut bukanlah sunat mua'akkad. Pendapat ini berdasarkan bahawa Imam dilihat sebagai contoh yang baik kepada makmumnya. Amalan ini juga pernah dilakukan oleh Imam Malik yang kadang-kala menyukai Imam yang meninggalkan sujud sajdah pada solat subuh hari Jumaat, kerana ingin mengajar manusia bahawa adalah sunat dan bukan wajib atau sunat yang dituntut.

Kesimpulannya, solat sunat sebelum Maghrib boleh dilakukan jika terdapat kesempatan masa untuk menunaikannya, begitulah halnya dengan melakukan solat Tahiyat al-Masjid semasa memasuki masjid. Mazhab Hanafi memakruhkan solat sunat tersebut dengan alasan bahawa waktu maghrib pendek, dan Imam Ahmad mengatakan bahawa solat tersebut hanyalah sunat biasa dan bukan sunat yang dituntut. WA.

wassalam
---------------
Rujukan

1. Fatwa Islam Online. سنة المغرب القبلية بين عادات المساجد والهدي النبوي . url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=77307

2. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Fataawa Mua'syirah - 1. cetakan ke 9. Kuwait : Dar al-Qalam, 2001. ms 247.

Sheikh Hj Kamin - AAN

0 comments:

Post a Comment