Wednesday, December 17, 2008

Cara Turun Dari Iktidal Ke Sujud

Salam

Tumpang bertanya,

1. Adakah cara pergerakan dari i'tidal ke sujud itu perkara sunat ataupun wajib? (mendahului lutut baru tangan)

2. Bolehkah terangkan tentang cara duduk tertentu yg dilarang ketika duduk antara dua sujud?

3. Adakah sah bacaan fatihah dalam solat sekiranya pada tempat waqaf hanya berhenti tetapi tidak memulakan ayat yang baru dengan nafas baru? Contohnya Alhamdulillaahirabbil'aalamin (berhenti sebentar tetapi tidak mengambil nafas baru dan menyambung) Arrahmaanirrahiim.

Terima kasih



<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Tidak ada masalah untuk tumpang bertanya, dan pihak kami pun akan cuba untuk menjawabnya setakat mana yang mampu.

1. Menurut bekas Mufti Arab Saudi, hukumnya sunat apabila seseorang yang ingin sujud meletakkan lututnya sebelum kedua tangannya jika ia mampu dan itu adalah pandangan dari beberapa ulama'. Ini diambil dari hadith yang diriwayatkan oleh Waa'il bin Hujr. ("Aku melihat Rasulullah saw ketika hendak sujud meletakkan kedua lututnya sebelum kedua tangannya dan apabila bangkit mengangkat dua tangan sebelum kedua lututnya." - Hadits dikeluarkan oleh Al Imam Abu Dawud, Tirmidzi An-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ad-Daarimy)

Walaubagaimana pun menurut Bin Baaz, qaul atau pandangan ulama mutakhir mengatakan bahawa sunat meletakkan tangannya sebelum lutut[1], sebagaimana yang dinyatakan oleh Shiekh Nasyiruddin Al-Albanididalam bukunya sifat Solat Nabi saw sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Khuzaimah (1/76/1), Ad-Daraquthni dan Al-Hakim, disahihkan dan disepakati oleh Al-Dzahabi.[2]ms. 140.

{كان يضع يديه على الارض قَبْلَ ركبتيه}

"Beliau meletakkan kedua tangannya diatas tanah sebelum kedua-dua lututnya"

Al-Albani didalam Ringkasan Solat Nabi saw menulis[3] :

ثم يَخِرُّ إلى السجود على يديه، يضعهما قَبْلَ ركبتيه، بهذا أمر رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو الثابت عنه من فعله صلى الله عليه وسلم ، ونهى عن التشبه ببروك البعير، وهو إنما يخر على ركبتيه اللتين هما في مقدمتيه.

"Kemudian ia harus turun bawah sujud dengan tangannya, meletakkan ia kebawah sebelum lutut. Ini adalah sebagaimana perintah Rasulullah saw dan thabit baginda melakukannya, dan dilarang meniru cara unta duduk, cara duduk dengan lutut dahulu."

2. Sheikh Al-Albani menerangkan terdapatnya 2 cara duduk diantara dua sujud yang dibenarkan (Sifat Solat Nabi, ms 151).

a. Duduk iftirasy - duduk dengan meletakkan punggung pada tapak kaki kiri dan kaki kanan ditegakkan (Sifat Solat Nabi, ms 152)

ويفرش رجله اليسرى فيقعد عليها، .

"Ia harus menghulurkan kaki kiri dan duduk diatasnya". Ini berdasarkan sabda Nabi saw:

{اذا سجدت فمكن لسجودك، فاذا رفعت فاقعد على فخذك اليسرى}

"Apabila kamu bersujud, maka tetapkanlah sujudmu, dan apabila kamu bangkit, maka duduklah diatas peha kirimu" (Riwayat Ahmad dan abu Daud dengan sanad yang jayyid).

{كان ينصب رجله اليمنى}

"beliau mendirikan kaki kanannya (Riwayat Al-Bukhari dan Al-Baihaqi).

b. Duduk Iq'aa'

Kata Al-Albani:

ويجوز الإقعاء أحياناً، وهو أن ينتصب على عقبيه وصدور قدميه.

"Dibenarkan iq'aa' kadang kala, bermakna duduk diatas kedua-dua tumit."

Larangan duduk :

a. Duduk seperti anjing atau syaitan:

Berkata Abu Hurairah r.a. :

{ونهانى خليلي صلى الله عليه وسلم عن اقعاء كاقعاء الكلب}

"Kekasihku, Rasulullah saw telah melarangku untuk duduk seperti anjing" - Riwayat Al-Thayalisi, Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah. Dan didalam riwayat lain :

{كان ينهى عن عقبة الشيطان}

"beliau [Nabi saw] melarang dari duduk seperti syaitan" - Riwayat Muslim dan selainnya.

Komentar Al-Albani terhadap hadith ini ialah bahawa ia bukannya duduk yang disyariatkan (Iq'aa') seperti duduk diantara dua sujud (2b) yang dinyatakan disana {قلت : وهذا غير الإقعاء الشروع بين السجدتين، كما تقدم هناك.}. Menurut Abu 'Ubaidah dan yang lain-lain duduk yang dimasukkan oleh hadith diatas ialah : dua tapak kaki ditegakkan kemudian duduk dilantai antara dua kaki tersebut dengan dua tangan menekan dilantai.

b. Menurut Al-Albani, duduk Iq'aa' ini dilarang ketika Tasyahud Awal (hanya dibenarkan didalam duduk diantara 2 sujud).

3. Sah bacaannya. Kerana menurut Al-Albani:

والسنة في قراءتها أن يقطعها آية آية، يقف على رأس كل آية، فيقول: (بسم الله الرحمن الرحيم) ثم يقف، ثم يقول: (الحمد لله رب العالمين )، ثم يقف، ثم يقول: (الرحمن الرحيم)، ثم يقف، ثم يقول: (مالك يوم الدين)، ثم يقف، وهكذا إلى آخرها.
وهكذا كانت قراءة النبي صلى الله عليه وسلم كلها، يقف على رؤوس الآي، ولا يَصِلُها بما بعدها، وإن كانت متعلقة المعنى بها.

"Adalah sunat membaca satu ayat demi ayat, dan berhenti sebentar pada setiap ayat. Maka berkata : "Bismillaah il-Rahmaan il-Rahiim" kemudian berhenti. Kemudian berkata, "Al-Hamdu Lillaahi Rabb il-‘Aalameen , kemudian berhenti. Kemudian berkata : ‘al-Rahmaan il-Rahiim, kemudian berhenti.... dan seterusnya, sehingga akhir ayat. Inilah cara Nabi saw membaca keseluruhan surah itu, dan tidak mencantumkan satu ayat dengan ayat yang kemudiannya, walaupun ada makna yang bersambung."

-wassalam-

===============
Rujukan :

1. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Bazz. Majmu' Fatawa Samaahah Sheikh Abdul Aziz bin Baaz - vol 4. Riyad : Dar Al-Watan, 2001. ms 232
2. Sheikh Nasyiruddin Al-Albani. Sifat Solat Nabi saw. Cetakan 2. Riyad : Maktab Al-Ma'aarif, 1996. .
3. Sheikh Nasyiruddin Al-Albani. Ringkasan Sifat Solat Nabi saw.

0 comments:

Post a Comment