Wednesday, December 17, 2008

Mengangkat Telunjuk Ketika Tahayat

Assalamualaikum...
Ustaz, saya ada persoalan yang saya harap ustaz jelaskan...
Apa pengertian sebenarnya semasa tahiyyat(awal & akhir), kita meluruskan jari telunjuk.....?
Terimakasih atas pertolongan ustaz
wassalam




Jawapan
Bila ditanya mengapa umat Islam mengangkat jari ketika membaca tahiyat, saya akan menjawab – Kerana mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa baginda s.a.w. berbuat demikian. Itulah sebab yang sebenar-benarnya.

Hadis-hadis yang menyatakan mengenai perkara berkenaan, antaranya ialah:

1. Dari Ibnu Umar r.a., katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk dalam sembahyang, baginda meletakkan kedua-dua tangannya di atas lutut dan mengangkat anak jarinya yang mengiringi ibu jari (jari telunjuk), lalu beliau berdoa dengannya, sedang tangannya yang kiri diletakkan di atas lutu kiri dengan menghamparkannya.” (HR Ahmad, al-Nasa’I dan Abu Daud)

2. Dari Wa’il bin Hujr r.a. katanya: “…kemudian Rasulullah duduk, lalu baginda menghamparkan kaki kirinya dengan meletakkan telapak tangan kiri di atas peha kiri dan mejadikan hujung siku kanan di atas peha kanan. Baginda menggenggam dua anak jarinya (jari kelingking dan jari manis) dan membuat gelungan, lalu baginda mengangkat-angkat anak jari telunjuk. Aku lihat baginda menggerak-gerakkannya sambil berdoa dengan dia.” (HR Ahmad, al-Nasa’I dan Abu Daud)

3. Dari Abdullah bin al-Zubair r.a., katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk dalam tahiyat, meletakkan tangan kanannya atas peha kanannya dan tangan kiri atas peha kirinya sambil berisyarat dengan telunjuk. Pandangannya tidak melampaui isyaratnya.

Dan ada beberapa hadis lain lagi…

********
Bila masanya mengangkat/berisyarat jari telunjuk? Menurut mazhab Syafi’iyah ia hendaklah dilakukan ketika mengucapkan kalimat “illallah”.

Apakah hikmah mengangkat jari telunjuk ketika tahiyat? Menurut Ibnu Ruslan bahwa hikmah mengangkat/berisyarat jari telunjuk ialah mengisyaratkan keesaan Allah, agar berhimpunlah ketika itu – Tauhid qauli (ucapan), tauhid amali (amalan) dan tauhid I’tiqadi (hati).

Menurut satu riwayat dari Ibnu Mas’ud, bahawa maksud isyarat itu ialah ikhlas.

Dan boleh juga dikatakan ia adalah sebagai isyarat tauhid dan ikhlas.

Mungkin inilah yang ditanyakan oleh saudara…

Wallahu a’lam

Rujukan
Nailul Authar
Subulus Salam
Mughnil Muhtaj


zain_ys

1 comments:

Ibnu Battutah said...

xde dalil al-quran ke ustaz??

Post a Comment