Wednesday, December 17, 2008

Solat Jenazah Tanpa Wuduk

Perkataan sembahyang pada sembahyang mayat adalah salah guna istilah,sembahyang yang dimaksudkan ialah doa, sebab itu tak mengapa kalau sembahyang mayat tanpa wudhu'.
Sebab sembahyang(solat) mempunyai rukun2 dan syarat2 tertentu.Betulkah begitu?

Assalamu'alaikum

Perkataan Al-solaah (الصلاةَ) didalam kamus Sakhr bermaksud "supplication" , "prayer" atau do'a dan sembahyang. Dr Mustafa Bugho menyatakan bahawa solat dari segi bahasa ialah do'a yang baik. Firman Allah swt :

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." - [Al-Taubah:103)

Ia bermakna apa-apa permintaan kepada Allah dan kepada mereka diberi pengampunan.

Disini juga kita dapat melihat perkataan solat juga digunakan bagi ibadat selawat, iaitu berselawat keatas Nabi. Firman Allah didalam surah Al-Ahzab:56 :

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

"Sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yg beriman, selawat dan salam lah keatas Nabi".

Manakala dari segi istilah feqah pula ialah 'melakukan perkataan dan perbuatan yang dikhususkan , dimulakan dengan Takbir dan diakhiri dengan salam' atau 'beribadat kepada Allah dengan perkataan dan perbuatan yang dimaklumkan, dimulakan dengan Takbir dan diakhiri dengan salam' : (التعبد لله تعالى بأقوال وأفعال معلومة مفتتحة بالتكبير ، مختتمة بالتسليم).

Sembahyang Mayat atau yang lebih tepat sekali Solat keatas Mayat (الصلاة على الميت), juga merupakan sejenis Solat yang mana hukumnya adalah fardu kifayah. Ia termasuk didalam definasi solat yang 'bermula dengan Takbir dan diakhir dengan salam'. Cuma istilahnya bukanlah Solat Mayat, tetapi Solat keatas Mayat.

Disebabkan ia merupakan sebahagian dari jenis-jenis solat, berwudhu' hukumnya adalah wajib. Tidak boleh melakukan Solat keatas mayat tanpa berwudhu'. Hadis Nabi saw menyatakan :

{{لا يقبَلُ اللهُ صلاةَ أحدِكم إذا أَحْدثَ حتى يتوضَّأَ}}

"ALLAH Tidak terima Solat seSeorang jika ia berhadas sehingga ia berwudhu" - Riwayat Muslim dari Abu Hurairah.

Kesimpulannya ialah istilah sembahyang mayat itu bolehlah ditukar kepada Solat keatas mayat, manakala Solat ini tetap berbentuk solat (yang dimulai dengan Takbir dan berakhir dgn salam) yang hukumnya Fardu Kifayah dan salah satu syarat sah solat ialah wajib berwudhu'.

wallahu 'alam

-wassalam-
---------------------------

Rujukan :

1. Dr. Mustafa Bugho [etc]. Fiqh Al-Manhaji - I. cetakan ke 4. Damsyik : Dar Al-Qalam, 2000.

2 comments:

Hj Yusoff bin Awang said...

Saya setuju.

Baei said...

Tahniah jawapan yang mantap

Post a Comment