Monday, January 19, 2009

Cara Solat Lelaki Dan Perempuan

Assalamua'laikum whk...

Terima kasih diucapkan kerana usaha ahli panel utk menjawab soalan saya yg lepas...

Kali ini saya nak bertanya tentang cara solat bagi lelaki dan wanita.. seperti yg saya tahu ada bezanya.. boleh tak ahli panel jelaskan secara terperinci lagi perbezaannya..
Kalu katakan ada seorg lelaki menunaikan solatnya mengikut cara solat wanita, apakah hukumnya? ...

Sekian, terima kasih bebyk...

**********
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr azfnd dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Apabila berbicara mengenai perbezaan diantara lelaki dan wanita, permasalahan ini boleh di bahagikan kepada 2:

a. Kaifiat menunaikan solat (dari Takbir al-Ihram sehingga salam, merangkumi amalan perkataan dan perbuatan/pergerakan).
b. Perkara-perkara yang berkait dengan ibadat solat (seperti Azan, Iqaamah, Saf wanita dsb).

Mengenai kaifiat solat, ada dikalangan sarjana berpendapat bahawa terdapat beberapa perbezaan diantara solat lelaki dan wanita, akan tetapi ulama' hadith mengatakan pandangan tersebut berdasarkan kepada beberapa riwayat yang dha'if. Ulama' hadith mengatakan bahawan bahawa hadith dha'if ini tidak boleh dijadikan sebagai dalil untuk menentukan perbezaan solat wanita. Berikut adalah beberapa contoh hadith-hadith yang digunakan :-

i. Riwayat dari 'Ata' ibn al-'Ajlaan, dari Abu Nadrah al-'Abdi, dari Abu Sa'ed al-Khudri sahabat Rasulullah saw, bahawa Nabi saw :

أنه كان يأمر الرجال أن يتجافوا في سجودهم ، ويأمر النساء ينخفضن في سجودهن ، وكان يأمر الرجال أن يفرشوا اليسرى وينصبوا اليمني في التشهد ، ويأمر النساء أن يتربعن

"memerintahkan kaum lelaki meluaskan lengan tangan mereka ketika sujud, dan memerintahkan kaum wanita supaya menjaga (merapatkan) lengan mereka ketika mereka sujud, baginda memerintahkan kaum lelaki meluaskan kaki kiri dan meletakkan kaki kanan lurus semasa tashahud, dan memerintahkan kaum wanita duduk diatas kaki mereka" - [al-Baihaqi mengatakan hadith ini mungkar].

ii. Riwayat dari Abu Mutee' al-Hakam ibn Abdullah al-Balkhi, dari Umar ibn Dharr, dari Mujahid, dari Abdullah ibn Umar berkata : Rasulullah saw bersabda :

إذا جلست المرأة في الصلاة وضعت فخذها على فخذها الأخرى وإذا سجدت ألصقت بطنها في فخذيها كأستر ما يكون لها وإن الله تعالى ينظر إليها ويقول يا ملائكتي أشهدكم أني قد غفرت لها

'"Apabila seorang wanita duduk, maka dia hendaklah meletakkan pehanya diantara kedua2nya, dan apabila sujud dia menekan perutnya terhadap pehanya, merapatkan dirinya didalam keadaan tertutup, kerana Allah swt melihatnya dan berkata :'Ya Malaikatku, Aku memanggil kamu agar kamu menyaksikan sesungguh aku telah mengampunkan dosanya'". - [Sunan al-Baihaqi al-Kubra, 2/222]. Hadith ini dikatakan dha'if kerana diriwayatkan oleh Abu Mutee' al-Balki. al-Bukhari nberkata bahawa beliau adalah dha'if dan al-Nasaa'i juga mengatakan dia adalah dha'if [Lisaan al-Mizaan, 2/334].

iii. Riwayat dari Yazid ibn Abi Habib, berkata bahawa Rasulullah melalui 2 orang wanita yang sedang bersolat, baginda bersabda :

إذا سجدتما فضمَّا بعض اللحم إلى الأرض ؛ فإن المرأة ليست في ذلك كالرجل

"Apabila kamu sujud, tekankan daging (badan) kamu kebumi, kerana sesungguhnya wanita tidak sama seperti lelaki didalam itu" -[di riwayatkan oleh Abu Daud (al-Maraasiil, ms 118) dan al-Baihaqi, 2/223]. Hadith ini tarafnya mursal yang dikelaskan sebagai dha'if.
-----------------------

Komentar Ibn Utsaimin mengenai kenyataan bahawa wanita tidak harus meluaskan lengannya, itu merapatkan ketika sujud dan ketika sujud menakankan perut ke peha, beliau menjawab :-

1. Alasan ini tidak boleh ditegakkan lebih-lebih lagi Nabi saw bersabda dengan maksud umum kepada lelaki dan wanita dengan sabdanya : صلوا كما رأيتموني أصلي "Solatlah sebagaimana kamu melihat aku bersolat".

2. Alasan ini juga tidak diperlukan kerana biasanya wanita bersolat dirumah, dan didalam keadaan ini tidak perlu mereka merapatkan anggota badan selagi mana tiada lelaki yang melihat mereka.

3. Dimasa takbir, wanita dibenarkan mengangkat tangan, mengangkat tangan kemungkinan besar akan membukanya lebih dari meluaskan lengan semasa sujud. Disamping itu juga mereka berkata mengangkat tangan itu sunnah, kerana prinsip asasnya merujuk kepada lelaki dan wanita sama didalam amalan perbuatan solat.

Pandangan yang rajih menurut al-Utsaimin ialah :-

أن المرأة تصنع كما يصنع الرجال في كل شيء فترفع وتجافي ، وتمد الظهر في حال الركوع ، وترفع بطنها عن الفخذين ، والفخذين عن الساقين في حال السجود ... وتفترش في الجلوس بين السجدتين ، وفي التشهد الأول ، وفي التشهد الأخير في صلاة ليس فيها إلا تشهد واحد ، وتتورك في التشهد الأخير في الثلاثية والرباعية ..
إذاً لا يُستثنى من هذا شيء بالنسبة للمرأة .

"Wanita hendak melakukan perkara yang sama dengan lelaki didalam solat, maka mereka hendaklah mengangkat tangan dan meluaskan tangan semasa sujud, menjadi belakang mereka selari semasa ruku', mengangkat perut mereka dari peha, dan peha mereka diangkat semasa sujud...mereka hendaklah duduk diatas kaki kiri, dan menjadikan kaki kanan menegak apabila duduk antara dua sujud, dan didalam tashahhud awal. Juga didalam tashahhud akhir, jika cuma terdapat satu tashahhud. Mereka hendaklah duduk mutawarrikan (kaki kiri dibumi, dan kaki kanan menegak) semasa Tashahhud akhir bagi solat yang mempunyai 3 atau 4 rakaat. Tidak ada pengecualian untuk wanita didalam perkara-perkara ini" - [Al-Sharh al-Mumti’, 3/304, 303]

Syeikh Nasyiruddin al-Albani didalam penutup kitab Sifat Solaat al-Nabi saw, menyatakan :

كل ما تقدم من صفة صلاته صلى الله عليه وسلم يستوي فيه الرجال والنساء ، ولم يرد في السنة ما يقتضي استثناء النساء من بعض ذلك ، بل إن عموم قوله صلى الله عليه وسلم " صلوا كما رأيتموني أصلي " يشملهن، وهو قول إبراهيم النخعي قال : تفعل المرأة في الصلاة كما يفعل الرجل.

"Semua yang telah dinyatakan didalam sifat solatnya Nabi saw menunjukkan sama diantara lelaki dan wanita, tidak ada apa-apa didalam sunnah yang memberi pengecualian bagi wanita dari mana-mana bahagian tersebut, bahkan sesungguhnya makna umum sabda Nabi saw :'Solatlah sebagaimana kamu melihat aku bersolat' temasuklah kaum wanita. Pendapat Ibrahim al-Nakhai berkata : Perbuatan wanita didalam solat adalah sebagaimana perbuatan lelaki." -[Sifat Solaat al-Nabi saw, ms 189].
--------------

Namum demikian, ulama'-ulama' Mazhab mengatakan secara keseluruhan kaifiat solat memang tidak terdapat perbezaan, cuma Al-Hafiz Imam Al-Nawawi rh. menyebut bahawa Imam al-Syafie rh. ada mengatakan didalam al-Mukhtasar :

ولا فرق بين الرجال و النساء في عمل الصلاة إلا أن المرأة يستحب لها أن تضم بعضها إلى بعض وأن تلصق بطنها بفخذيها في السجود كأستر ما تكون وأحب ذلك لها في الركوع وفي جميع الصلاة .

"Tidak ada perbezaan diantara amalan solat lelaki dan wanita melainkan wanita mustahab baginya menjaga bahagian badannya berdekatan diantara sama yang lain, dan hendaklah menjadikan perut mereka menyentuhi pehanya semasa sujud. Ini lebih tertutup dan disukai, didalam ruku' dan juga keseluruhan solat"-[al-Majmu' 3/429].

Ibn Qudamah rh. juga menyebut :

أنَّ المرأة تجمع نفسها في الركوع والسجود بدلاً من التجافي … لأنه أستر لها
"Sesungguhnya wanita hendaklah mendekatkan (anggota2nya) pada dirinya didalam ruku' dan sujud dan tidak meluaskan/melebarkannya...sesungguhnya ia lebi tertutup" [al-Mughni 2/258].

Bagi menutup perbincangan bab kaifiat solat ini, mari kita lihat komentar Syeikh Saleh al-Munajjid, seorang penceramah dan ulama' Saudi yang mengatakan bahawa :

وعلى فرض أن المرأة صلت في مكان عام قد يشاهدها فيه الرجال كالحرم المكي ، أو حديقة عامة – إذا احتاجت – فإنها تحذر من كل فعل يؤدي إلى الانكشاف ، وتحتاط في هذه الحال بما لا تفعله عادة .

"jika kita andaikan kaum wanita bersolat di tempat awam dimana lelaki mungkin melihatnya, sepertimana Masjid al-Haram, atau di Taman - Jika dia bersoalt disana, maka hendaklah mereka menjaga diri pada setiap perbuatan mereka yang boleh membawa kepada terbukanya sebahagian dari bahagian mereka, dan perlu mengambil perhatian yang lebih didalam kes ini"
-----------------------

Mengenai permasalahan yang berkaitan dengan solat wanita (bukan kaifiat solat), terdapat beberapa perbezaan yang dapat kita ringkaskan, diantaranya adalah :-

a. Wanita tidak dibenarkan Iqaamah atau melaungkan azan.
b. Solat jemaah tidak dituntut keatas kaum wanita.
c. Adalah lebih afdal wanita yang bersolat jemaah di imaami oleh kaum wanita.
d. Imam wanita berdiri ditengah-tengah saf pertama.
e. Saf wanita yang terakhir adalah lebih baik, apabila bersolat dengan jemaah lelaki.
f. Kaum lelaki menegur kesalahan Imam dengan menyebut "Subhanallah", sementara kaum wanita menepuk tangan (ada yang menyatakan tepuk dibelakang tangan).
g. Solat Jumaat tidak wajib bagi wanita.
h. Wanita tidak boleh menjadi Imam bagi kaum lelaki, dan keadaan saf makmum wanita adalah dibelakang kaum lelaki.

Kesimpulannya, kaifiat (cara atau sifat) solat wanita adalah sama sahaja dengan kaum lelaki menurut ulama' hadith, akan tetapi terdapat beberapa perbezaan dari segi hal-ehwal dipersekitaran solat, lebih-lebih lagi didalam solat berjemaah seperti yang disimpulkan diatas. WA.

wassalam.
==============
Rujukan :

1. Syeikh Salih al-Munajjid. صفة صلاة المرأة كصفة صلاة الرجل. url : http://63.175.194.25/index.php?cs=prn&ln=ara&QR=9276&dgn=4&dgn=2

2. Syeikh Salih al-Munajjid. Differences between Men and Women in Prayer . Fatwa IslamOnline. url : http://www.islamonline.net/fatwa/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=74672

3. Syeikh Nasyiruddin al-Albani. Sifat Solaat al-Nabi saw. cetakan ke bagi cetakan baru. Riyad : Maktabah al-Ma'aarif, 1996.

Sheikh Hj Kamin - AAN

0 comments:

Post a Comment