1.Sahkah sembahyang seseorang yang bertakbiratul Ihram dengan perlahan iaitu dengan hanya menggerakkan mulut tanpa mengeluarkan suara? Daripada apa yang saya tahu, takbiratul ihram itu perlu dilafazkan dengan suara sekurang-kurangnya sekadar didengari oleh telinga kita. Jika betul, bagaimana dengan solat kebanyakan masyarakat pada hari ini yang dilakukan begitu?
2. Adakah seseorang makmum itu telah dianggap sebagai telah mendahului imam jika dia rukuk sebelum imam rukuk dengan sempurna? Jika tidak, apakah yang dikatakan mendahului imam satu rukun itu? Dan apakah hukumnya?
=============
Salam
Alhamdulillah, inilah jawapannya:
a. Takbiratul Ihram
1. Takbiratul Ihram merupakan rukun solat bagi mazhab al-Malikiyah, al-Syafi'iyah dan al-Hanabilah. Tanpanya, solat tidak sah. Manakala menurut al-Hanafiyah ia bukan rukun. Mereka berpendapat takbiratul ihram adalah syarat solat. Menurut satu pendapat dari mereka ia adalah perkara yang diwajibkan. (al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, vol.1, hal.624)
2. Jika ia rukun solat, maka tanpanya solat yang dikerjakan tidak sah.
3. Takbiratul Ihram hendaklah diucapkan atau dilafazkan. Menurut, Dr Wahbah al-Zuhaili:
"ويشترط اسماع نفسه التكبير كالقراءة وسائر الأركان القولية"
Ertinya: Disyaratkan pada takbiratul ihram ialah ucapannya didengar oleh dirinya sendiri. Syarat ini samalah spt syarat membaca al-Fatehah dan rukun qauli lainnya. (Ibid. 632)
4. Masalah: Jika betul, bagaimana dengan solat kebanyakan masyarakat pada hari ini yang dilakukan begitu?
Jawab: Jika mereka melakukannya dalam keadaan tahu, maka tidak sah solatnya. Dan jika ia dilakukan dalam keadaan jahil, maka wajib atas mereka belajar. Adalah satu dosa jika ilmu2 fardu ain tidak diketahuinya. Bagaimana amalan itu boleh diterima oleh Allah Taala jika ia dilakukan tanpa ilmu serta tidak menepati kehendak syariat. Manakala mereka yang melihat akan kesalahan ini, wajiblah menegurnya dan mengajarnya.
b. Makmum mendahului imam
1. Menurut ulama Syafi'I, makmum wajib mengikut imam pada perbuatan bukan pada perkataan. Pada perkataan hanya disunatkan lewat dari imam. Pada perbuatan makmum hendaklah lewat dari imam. Cuma, serentak atau mendahului imam pada takbiratul ihram boleh membatalkan sembahyang makmum. Makmum juga tidak boleh terkemudian dari imam. (ibid. vol. 2)
2. Maksud tidak mendahului dan terkemudian dari imam ialah, tidak mendahului atau terkemudian 2 rukun fi'li (perbuatan) dari imam. Oleh itu, sembahyang tidak batal jika mendahului atau terkemudian satu rukun fi'li dari imam. Serentak dengan imam dalam rukun fi'li juga tidak membatalkan. (ibid.)
3. Sekalipun mendahului atau terkemudian dari imam dengan satu rukun fi'li tidak membatalkan sembahyang, namun hukumnya adalah haram. (ibid.)
3. Makmum tidak boleh mendahului imam ketika memberi salam. Ini boleh membatalkan sembahyang. Bagaimana jika serentak? Hukumnya makruh. (ibid.)
4. Masalah: Adakah seseorang makmum itu telah dianggap sebagai telah mendahului imam jika dia rukuk sebelum imam rukuk dengan sempurna? Jika tidak, apakah yang dikatakan mendahului imam satu rukun itu? Dan apakah hukumnya?
Jawab: Perbuatan ini tidak dianggap mendahului imam sebagaimana keterangan di atas. Sembahyang makmum ini dianggap sah, tidak batal.
Demikian pendapat dalam mazhab al-Syafi'i. Utk penjelasan dari mazhab2 lain sila rujuk beberapa kitab, al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaili, vol 2. dan kitab al-Sholah Alal Mazahibil Arba'ah, syeikh al-Rahbawi.
Sekian, wallahu a'lam
Tuesday, December 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment