Wednesday, December 17, 2008

Solat Sunat Tetapi Tertinggal Solat Wajib

Assalamualaikum, pertama tamanya saya amat bersyukur kehadrat Illahi kerana adanya ruang ini di internet. Jua tahniah kepada pembikinya dan semoga anda di limpahi rahmatnya.
Lanjutan kepada persoalan mengenai sembahyang sunat itu tapi, suka saya kemukakan satu soalan yang mungkin agak basic dan akan tetapi saya amat keliru sekali dengan keadaanya.

Soalanya: Adakah sah sembahyang sunat (apa apa sunat) seseorang itu seandainya beliau tertinggal sembahyang wajibnya dan masih belum diganti (qada).

Saya harap saya mendapat jawatannya demi mengihangkan kekeliruan saya.

Terima kasih dan wassalam

Jawapan
Terimakasih kerus masih mengunjungi kami. Alhamdulillah inilah jawapannya:

Terdapat beberapa istilah yang dirasakan perlu diberi penjelasan definasinya, agar pemahaman dapat lebih mendalam lagi. Iaitu --> Tunai (ada'), qadhak dan i'adah.

Tunai (ada')
Ada' ialah melakukan sesuatu perbuatan yang diwajibkan dalam waktu yang ditetapkan oleh syarak. Misalnya kalau sembahyang fardu Asar, dia melakukan sembahyang tersebut pada waktu tersebut.

I'adah (mengulang)
I'adah pula ialah melakukan perbuatan yang diwajibkan untuk kali kedua di dalam waktu yang ditetapkan oleh syarak. Contohnya, dia mengerjkan sembahyang Asar di dalam waktu Asar, tetapi kurang sempurna. Lalu dia sembahyang untuk kali keduanya di dalam waktu itu juga. Ini dinamakan i'adah.

Qadhak
Qadhak pula ialah mengerjakan perbuatan yang diwajibkan diluar dari waktu yang diwajibkan oleh syarak. Misalnya, dia mengerjakan sembahyang Asar selepas habis waktu berkenaan. Sudah masuk waktu maghrib baru nak sembahyang Asar.

Apa hukum qadhak?
Telah ijmak (tidak diperselisihkan oleh seorang ulamakpun) bahawa mengqadhak sesuatu amalan yang wajib adalah wajib hukumnya. Dasar pengambilan hukum ini ialah, hadis:
"Barangsiapa yang tertidur atau terlupa dari mengerjakan sembahyang, hendaklah dia kerjakannya apabila teringat." (Riwayat Ahmad, Syaikhan, al-Tarmizi dan al-Nasa'i dari Anas bin Malik)

Berikut ini pula saya petik dari kenyataan Syeikh Zainudin al-Malbari dari kitab Fathul Mu'in yang dinukilkannya dari gurunya syeikh Ibnu Hajar al-Haitami (terjemahan bebas):

"Wajib seseorang itu menyegerakan mengerjakan (qadhak) sembahyang tertinggal, jika ia dilakukan secara sengaja. Syeikh kami Ahmad Ibnu Hajar al-Haitami r.h. berkata bahawa yang apa yang nyata ialah dia wajib memalingkan semua waktunya untuk mengerjakan qadhak. Dikecualikan untuk waktu untuk mengerjakan sesuatu yang lain yang tidak dapat dielakkan. Sesungguhnya dia diharamkan mengerjakan sembahyang sunat."

******intaha al-Malbari*******
Di atas, menurut fatwa Ibnu Hajar seseorang yang telah meninggalkan sembahyang secara sengaja, diwajibkan mengqadhaknya dengan segera. Tidak boleh tangguh-tangguh lagi. Segala waktunya hendaklah digunakan untuk melakukan qadhak, kecuali untuk hal-hal yang penting sahaja seperti tidur, makan, bekerja dan sebagainya. Selagi qadhaknya belum selesai, dia diharamkan mengerjakan sembahyang sunat. Dan memang benar, jika kita fikirkan, bukankah lebih baik (semestinya) sembahyang sunat yang kita mahu kerjakan itu digantikan dengan mengerjakan sembahyang qadhak. Walaubagaimanapun sembahyang sunat yang dikerjakan itu tetap sah.

Kita petik lagi kata-kata Syeikh al-Malbari:
"Sunat hukumnya menyegerakan qadhak bagi orang yang tertinggal kerana uzur, seperti tertidur (yang tidak sengaja terlajak, bukan sengaja terlajak) dan lupa. Jika tertinggal sembahyang dengan uzur, dia sunat mengerjakan qadhak itu secara tersusun menurut urutan waktu sembahyang. Sunat mengerjakan qadhak Subuh sebelum Zohor, begitulah seterusnya... Disunatkan juga mengerjakan qadhak sebelum mengerjakan sembahyang semasa. Itupun jika tidak dikhuatiri akan terlepas sembahyang semasa."

******intaha al-Malbari*******
Bagi orang yang tertinggal sembahyang fardu kerana uzur kerana tertidur atau terlupa, dia disunatkan menyegerakan qadhak. Sunat juga dia kerjakan qadhak secara tersusun. Contohnya dia tertinggal sembahyang subuh, asar dan isyak secara tidak sengaja. Ketika mengqadhak, dia sunat mengerjakan menurut urutan -> Kerjakan qadhak Subuh dahulu, kemudian Asar dan akhir sekali Isyak.

Sunat juga mendahulukan sembahyang qadhak (bagi yang tertinggal kerana uzur) dari sembahyang semasa. Contoh, sekarang adalah waktu Asar. Kita ada tertinggal sembahyang Subuh kerana tertidur. Sebelum mengerjakan sembahyang Asar, kita disunatkan mengerjakan dahulu sembahyang qadhak Subuh dahulu. Tetapi jika waktu Asar sudah nak habis, kalau mahu buat qadhak sudah tentu tak sempat, maka kerjakanlah dulu sembahyang Asar (sembahyang semasa).

Wallahu a'lam


zain_ys

4 comments:

Anonymous said...

saya mengalami masalah resdung dan sentiasa ada bendalir dirongga dalam hidung. Apakah batal sembahyang saya jika saya menelan bendalir tersebut sepanjang saya menunaikan sembahyang?

Admin said...

Tidak batal solat anda, masalah sakit adalah dimaafkan, kalau berpuasa sekali pun tidak batal puasa dalam kes sakit begini.

Anonymous said...

Assalammualaikum,
Orang yg tak habis ganti solat fardhu,
Tidak boleh solat sunat kan,
Tetapi kalau kita melakukan dosa dan hendak solat taubat tapi masih belum habis qada solat,
Macam mana nak bertaubat?

Senjabiru said...

Assalammualaikum... saya mula solat 5thun yg lalu .. sah kah solat sunat saya tanpa qadhak solat yg sy tinggalkn 5thun yg lalu ?

Post a Comment