Wednesday, December 17, 2008

Solat Sunat Dhuha

Bolehkah Ustaz terangkan berkaitan tentang solah isyrak dan duha?
Adakah sama atau solah yang berbeza?

Wa'alaikumussalam.

Alhamdulillah. Kami akan cuba menerangkan dengan kadar yang mampu perbezaan atau persamaan diantara Solat Duha dan Solat Isyraaq yang sdr anakmurid tanyakan, Insyaallah.

Kedua istilah Solat ini menunjukkan Waktu atau masa sejenis Solat sunat itu dilakukan. Dari segi bahasa (الإشراق) Isyraaq menunjukkan terbit atau naik atau cahaya (emerge, rise, light). Duha (ضُحًى ) bermaksud waktu diantara pagi hingga tengahari atau 'forenoon'. Dengan kata lain Solat Duha dan Isyraaq menunjukkan Solat Sunat diwaktu terbit matahari dipagi hari.

Bila waktu Solat Duha?

Sheikh Ibnu Utsaimin didalam Al-Sharh al-Mumti’(4/122) menyatakan bahawa waktu solat Duha ialah :

من طلوع الشمس وارتفاعها إلى قبيل وقت صلاة الظهر . ...

".... dari Terbit matahari pada ketinggian tertentu sehingga sebelum waktu Solat Zohor"

Dengan ertikata lain, beliau mengatakan bahawa waktunya kira-kira :

بعد شروق الشمس بربع ساعة إلى قبيل صلاة الظهر بعشر دقائق

"Selepas naik matahari 1/4 jam sehingga 10 minit sebelum zohor"

Apakah Solat Duha dan Israaq itu solat yang sama?

Diatas tadi kita membincangkan bahawa dari segi istilah, kedua-dua solat ini menunjukkan Solat Sunat yang dilakukan pada waktu pagi selepas terbit matahari. Ulama'-ulama' mengatakan bahawa kedua-dua Solat ini sama sahaja, ia tidak berbeza, dimana Solat Isyraaq juga menunjukkan Solat Duha. Solat Israaq ialah merupakan Solat Duha yang dilakukan sebaik sahaja matahari terbit di ketinggian tertentu dengan istilah "SURUUQ" (شروق). Sheikh Abdul Aziz bin baaz (majmu' fataawa, 11/401) mengatakan :

صلاة الإشراق هي صلاة الضحى في أول وقتها .

"Solat Isyraaq ialah Solat Duha diawal waktunya"

Menurut seorang ulama Saudi terkenal, Sheikh Saami Majid mengatakan beliau tidak berjumpa dengan sejenis solat yang berasingan yang dinamakan Solat Al-Israaq, melainkan ia dinamakan dari Solat Duha. Jelas beliau :

لايعرف في الشرع صلاة مستقلة تسمى صلاة الإشراق ، وإنما ورد تسمية صلاة الضحى بصلاة الإشراق

"Tidak diketahui didalam syara' Solat yang bersendirian dinamakan Solat Isyraaq, dan sesungguhnya Solat Israaq itu datang dari nama Solat Duha".

Maka kesemua waktu diantara terbit matahari dan sebelum waktu Zohor dipanggil waktu Duha.

Sheikh Abdul Aziz Bin baaz (Majmu' fatawa 11/395) mencadangkan bahawa:

والأفضل صلاتها بعد اشتداد حر الشمس لقول النبي صلى الله عليه وسلم :
( صلاة الأوابين حين ترمض الفصال ) رواه مسلم ( 748 )

"Seafdal-afdal Solatnya ialah selepas matahari menjadi panas, dimana Nabi saw bersabda :'Solat Al-Awaabeen semasa Unta muda merasakan panas (akibat matahari yg panas)'. Hadith riwayat Muslim#748.

Hadith ini juga menujukkan juga bahawa nama lain bagi Solat Duha ialah Solat Awaabiin.

--------------

Solat selepas terbit matahari merupakan salah satu solat yang dikatakan sunat mua'akad, yang amat digalakkan umat Islam melakukannya. Jika dilakukan sejurus selepas masuk waktu Syuruuq, maka ia namakan juga sebagai Solat Al-Isyraaq. Menurut pengarang buku Al-Ikhthaa' Al-Mushalliin (ms.173), Muhammad Sidiq Al-Minshawi, salah satu kesilapan ramai dikalangan orang yang bersolat ialah meninggalkan Solat DUHA kerana Jahil, bahkan ada yang tidak tahu langsung akan wujudnya Solat Duha. Insyaallah, marilah kita saling ingat-mengingati diantara satu sama lain agar dapat menghidupkan solat Duha ini didalam kehidupan seharian kita. Akhir sekali, didalam sebuah Hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang kami ambil terjemahannya, dari Abu Hurairah (ra) pernah mendapat pesanan Nabi saw, kata beliau:

"Khalil ku (Sahabat ku, - iaitu Nabi saw)menasihatkan ku akan perihatin keatas 3 perkara dan tidak meninggalkannya sebelum aku mati :
1. melakukan Puasa 3 hari didalam sebulan
2. menunaikan Solat Duha
3. menunaikan Solat Witr sebelum Tidur"

wallahu 'alam
-wassalam-

-------
Rujukan :

1. Sheikh Abdul Aziz Bin Baaz. Majmu' Fatawa - 11 Riyad : Dar Al-Watan, 19??.

2. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' Fatawa Sheikh Abdul Aziz bin Baaz - 4. Riyad : Dar Al-Watan, 1997. ms 335

3. Sheikh Saami Majid. Perbezaan Solat Isyraaq dan solat Duha. Fatwa IOL. url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=84316

4. Muhammad Sidiq Al-Minshawi. Al-Ikhthaa' Al-Mushalliin Kaherah : Dar Al-Fadhilah, 1996. ms 173.

0 comments:

Post a Comment