Assalamualaikum...
Saya ada satu kemuskilan.
Beberapa bulan lalu, saya ada menonton satu rancangan TV (tak ingat rancangan apa), Dato' Ishak Baharom (Bekas Mufti Selangor) berbicara tentang solat. Antara penerangannya ialah tentang aurat.
Menurutnya, semasa dalam sembahyang kita mesti menutup aurat (bagi lelaki) iaitu tak boleh nampak aurat dari segenap arah termasuk dari atas atau bawah.
Soalan saya : apakah hanya memakai kain pelikat dan berbaju melayu (tanpa berbutang) dapat dikira sah sembahyang sedangkan kalau dipandang dari arah bawah (kaki keatas) tentu auratnya terbuka dan ketika rukuk akan kelihatan aurat (sekiranya kain yang dipakai dibawah paras aurat) Adakah kita mesti memakai seluar panjang dan kemudian kain pelikat Diluar dan memakai T-shirt sebelum memakai baju melayu untuk mengelakkan aurat kita dapat dilihat dari arah atas atau bawah??
Adakah dengan memakai kain pelikat dan berbaju melayu tanpa berbutang sah sembahyang dari segi menutup aurat ? Dari segi apakah dikira aurat itu ditutup? Aurat akan kelihatan sekiranya ia dilihat dari arah bawah keatas dan dari atas kebawah (melalui kain antara dua kaki dan dari depan semasa rukuk.)
Penjelasan dari pihak anda amat dinanti-nantikan.
Sekian
Wassalam
JAWAPAN
Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Definasi aurat menurut bahasa ialah kekurangan. Menurut istilah syarak pula ialah sesuatu yang wajib disembunyikan dan yang haram dilihat.
Aurat adalah salah satu dari syarat sah sembahyang. Menurut ijmak ulamak, aurat itu wajib ditutup dalam semua keadaan samada di dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Hanya, bentuk penutupan itu sahja yang berbeza-beza menurut keadaan-keadaan tertentu..
Firman Allah Taala:
Ertinya: “Pakai pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang). (Al-A’raf:31)
Ibnu Abbas menafsirkan ayat di atas sebagai pakaian ketika bersembahyang.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Allah tidak menerima sembahyang perempuan yang telah baligh tanpa tudung kepala.” (HR al-Hakim)
Mengenai masalah yang saudara tanyakan, jawapannya adalah:
1. Aurat mestilah ditutup dari arah keliling dan atas, tidak dari arah bawah.
Apabila seseorang itu memakai kain yang singkat, kemudian ketika rukuk atau sujud terlihatlah auratnya, apakah batal sembahyangnya? Sebagai jawapannya adalah sebagai berikut:
“(Suila radhiallah u anhu) daripada memakai kainnya itu singkat hal menutup ia akan auratnya dan sembahyang ia maka kelihat tatkala ia rukuknya dan sujudnya adakah batal sembahyangnya atau tiada, dan jikalau disahajanya sekalipun dan didapatnya kain yang lain.
(Maka dijawabnya) tiada batal sembahyangnya dan jika ada ia orang yang kuasa kerana kelihat itu belah pihak bawah bukan pihak atasnya dan kelilingnya.”
(Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Furu’ al-Masa’il, vol. 1, hal. 76, cet. Darul Fikr)
Maksudnya, Syeikh Daud di tanya: Apakah batal sembahyang seseorang yang memakai kain singkat, kemudian semasa rukuk dan sujud terlihat auratnya. Dan, orang ini pula sebenarnya sengaja memakai kain berkenaan, padahal ada kain lain yang tidak singkat yang boleh dipakainya?
Syeikh Daud jawab tidak batal sembahyangnya, kerana aurat berkenaan kelihatan dikira dari arah bawah, bukan dari arah keliling atau atas.
2. Masalah: Memakai baju melayu tanpa butang…
Jawapannya: Seandainya saudara mengikat kain (atau seluar) di bawah paras pusat (pusat tidak tertutup), sudah tentu ia dapat dilihat secara yakin dari atas, maka batal sembahyangnya. Kerana aurat dikira terdedah. Sebaliknya jika saudara mengikat kain di atas paras pusat, sudah tentu tidak menjadi apa-apa.
3. Tentang mahu memakai pakaian apa, dan bagaimana caranya adalah terpulang… Asalkan dapat menutup batas-batas aurat yang telah ditetapkan di dalam sembahyang. Hatta, jika bersembahyang dengan tidak memakai baju… Hanya pakai kain pelikat – Dengan menutup anggota aurat asasi sahaja – ia sudah dikira sah sembahyangnya! Walaupun sah sembahyangnya, tetapi dari segi adab antara makhluk dan al-Khaliq dikira sebagai sangat tidak patut.
*******
Saya kira jawapan ini jelas dan dapat difahami.
Wallhu’alam.
zain_ys
Wednesday, December 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment