Tuesday, December 8, 2009

Hukum Meninggalkan Solat Dengan Sengaja

(Dipetik dari kitab Pedoman Solat Prof Dr Muhd Hasbu Ash Shiddieqy - Indonesia, terbitan tahun 1974 muka surat 609 - 616).

Rasulullah s.a.w. telah memberi petunjuk, di antara sabda Nabi s.a.w.:

"Antara seorang Islam dan antara kekafiran, ialah meninggalkan solat" (Riwayat Ahmad dan Muslim dari Jabir; At-Targhrib, 1:342).

"Urusan yang memisahkan antara kita (para muslimin) dengan mereka (orang-orang kafir) itu, ialah solat. Maka barangsiapa meninggalkannya, sungguh ia telah menjadi kafir". (Riwayat Ahmad dan Daud dari Buraidah, At-Targhib 1:342).

Penetapan Fuqaha Sahabat, Tabi'in dan Imam-Imam agama terhadap orang-orang yang meninggalkan solat:



Diterangkan oleh An-Nawawi bahawasanya:

Orang yang meninggalkan solat dengan jalan mengingkari kewajipannya, dipandang telah menjadi kafir, keluar dari millah (agama) Islam - (dengan ijma' segala ulamak Islam) -, terkecuali kalau ia baru memasuki Islam dan belum mengetahui hukum kewajipan solat itu.

Adapun jika ia meninggalkan solat dengan kemalasan serta masih mengi'tikadkan kewajibannya solat itu atas dirinya, maka Imam Malik dan Asy Syafi'i menetapkan bahawa:

"Orang itu, tidak dikafirkan, hanya dipandang fasiq dan disuruh bertaubat. Jika ia tidak mau bertaubat, nescaya dibunuh, selaku suatu hukuman yang mesti dijalankan".

Tetapi segolongan ulamak salaf, diantaranya Ahmad dan Ishaq menetapkan, bahawa:

"Orang itu, dikafirkan dan dibunuh selaku seorang kafir".

Abu Hanifah dan al-Muzany menetapkan bahawa:

"Orang yang meninggalkan solat tidak dikafirkan dan tidak dibunuh, hanya dipenjarakan dan dita'zirkan, sehingga kembali mengerjakan solat".

Ulamak-ulamak yang mengkafirkan orang yang meninggalkan solat berhujjah dengan:

Zahir hadis-hadis di atas.
Mengqiaskan kepada kalimah Tauhid.

Ulamak yang tidak mengkafirkan orang yang meninggalkan solat mengambil hujah sabda Rasulullah s.a.w.:

"Barangsiapa mengucapkan; "Lailla haillahllah", masuklah ia kedalam syurga". (Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah; An-Nail 1:376 - As-Sholah Ibnul Qayyim 39).

Ulamak-ulamak yang menyuruh membunuh orang yang tidak mau bersolat sesudah disuruh bertaubat, berhujjah dengan:

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Saya diperintah memerangi manusia (yakni musyrikin Arab) sehingga mereka mengucap Lailahaillahllah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka mengerjakan yang demikian, nescaya mereka pelihara darah-darah dan harta-harta mereka daripadaku". (Riwayat al Bukhari dan Muslim dari Ibn Umar; Nailul-Authar 1:364).

Firman Allah s.w.t.:

"Maka jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, lepaskanlah perjalanan mereka". (At-Taubah ayat 12).

Ulamak-ulamak yang tidak menghukum membunuh orang yang tidak mengerjakan solat, berhujah dengan:


Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tidak halal dari seorang Muslim yang mengaku bahawa sesungguhnya tak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku pesuruh Allah, melainkan dengan kerana salah satu dari tiga perkara; pertama tsaib mengerjakan zina, kedua membunuh orang dan ketiga meninggalkan agama dan menentang jamaah". (Riwayat Al Bukhary dan Muslim, Muftahul-Khathabah 219).

Kata Pentahqiq:

Sesudah kami mengatakan pentahqiqan dalam masalah ini, hasil kesimpulannya:

a.  Seseorang yang meninggalkan solat pada suatu waktu dengan kerana kemalasan atau mengerjakan kemaksiatan kerana kejahilan dengan merasa penyesalan dan kekecewaan hati serta ingin bertaubat, tiadalah iman orang itu berlawanan dengan iman mutlaq dan tiadalah halnya itu mengeluarkan dirinya dari millah (agama) walaupun berulang-ulang.

b. Seorang yang terus menerus menginggalkan solat dengan tidak merasa keberatan apa-apa, tidak merasa penyesalan dan tidak merasa kekecewaan serta tidak merasa perlu bertaubat, maka orang itu dipandang dan dihukum kafir. Kerana meninggalkan solat yang semacam ini meniadakan iman.

Perkataan ulamak salaf:

"Kami tiada mengkafirkan seseorang muslim kerana ia mengerjakan sesuatu dosa".

Dihadapkan kepada orang yang pertama (a):

Untuk mengetahui jalan memperoleh kesimpulan ini, haruslah lebih dahulu kita mengetahui hakikat iman dan hakikat kufur, supaya tepat hukum yang kita berikan.

Supaya tepat dan sah kita menghukum "tak ada iman lagi pada seseorang yang meninggalkan solat", atau mengisbatkan iman padanya, maka perhatikanlah dengan saksama penjelasan di bawah ini:

Iman dan kufur adalah dua hal yang bertentangan; apabila salah satu dari keduanya itu timbul dan menang, maka dengan sendirinya hilanglah yang lain (lawannya); seperti pertentangan gelap dengan terang dan perlawanan ada dengan tidak ada.

Iman itu suatu batang yang mempunyai asal, (akar tunggal) mempunyai pokok dan mempunyai beberapa cabang dan rangka. Tiap-tiap cabang itu, dinamai iman juga. Umpama pohon asam. Akar tunggalnya disebut akar tunggal asam; pohonnya disebut pohon asam, batangnya disebut batang asam, cabang-cabangnya disebut cabang-cabang batang asam dan daun-daunnya serta bunga-bunganya disebut daun-daun dan bunga-bunga asam.

Solat itu adalah suatu bahagian yang penting dari batang iman, demikian jugalah zakat, haji, puasa. Berbagai-bagai amalan-amalan batiniah, seperti malu, menyerahkan diri kepada Allah, sehingg sampai kepada membuang kotoran dari jalan raya, masing-masingnya adalah suatu bahagian dari batang iman itu.

Cabang-cabang atau bahagian-bahagian iman, berlain-lainan kedudukannya. Ada yang menjadi hilang batang iman dengan kerana hilang bahagian itu, seperti syahadat. Ada yang tidak menjadi hilang atau roboh batang iman, dengan kerana roboh atau hilang bahagian itu, seperti menghilangkan kotoran-kotoran yang bertebaran dari jalan raya.

Di antara syahabat dengan membuang kotoran-kotoran dari jalan raya itu, terdapatlah berpuluh-puluh bahagian yang lain, sebahagian disamakan kedudukannya dengan kedudukan syahadat dan sebahagian lagi disamakan kepentingannya dengan membuang kotoran dari jalan raya.

Demikian pulalah halnya dengan kufur.

Kufur, berpokok dan bercabang serta beranting juga. Tiap-tiap cabangnya dinamai kufur juga, seperti sesat, cabang dari kufur, dan haq (benar) cabang dari iman; tidak bermalu cabang dari kufur, sedang malu cabang dari iman.

Solat, zakat, puasa dan haji masing-masingnya cabang besar dari iman.

Iman dan kufur terbahagi kepada qauli (ucapan) dan fi'li (pekerjaan).

Diantara cabang-cabang qauly dari iman, ada yang menghilangkan iman dengan ketiadaan (kehilangan)nya, demikian juga diantara cabang-cabang fi'li dari iman, ada yang menumbangkan pokok iman dengan kerana tumbangnya cabang itu.

Cabang-cabang kufur demikian juga, baik qauli maupun fi'li.

Sebagaimana menjadi kufur dengan mengucapkan kalimat kufur, menjadi pula kufur dengan bersujud kepada berhala dan menghinakan Al-Quran.

Iman tersusun dari qaul dan amal, sebagai yang sudah dinyatakan.

Maka qaul itu terbagi pula kepada qaulul-qalbi (ucapan atau perkataan hati), iaitu iktikad dan qaulul-lisan (ucapan atau perkataan lidah) iaitu melafazkan kalimat-kalimat Islam. Demikian pula amal terbahagi kepada amalul-qalbi (pekerjaan hati) iaitu niat dan ikhlas dan terbagi kepada amalul-jawarih (perkerjaan anggota), iaitu solat, puasa dan sebagainya.

Bilamana cabang-cabang itu hilang ataupun tumbang semuanya, maka hilanglah atau tumbanglah pula pokok dan batangnya. Juga dihukum telah hancur-luluh pokok atau batang iman, apabila hilang atau patah cabang tashdiqul-qalbi. Apabila hati tidak membenarkan lagi, tidak mempercayai lagi, tumbanglah segala cabang yang lain. Kerana apabila hilang tashdqul-qalbi, tidaklah berguna seluruh suku-suku, seluruh bahagian-bahagian, atau rangka-rangka dan cabang-cabang yang lain. Lantaran tashdiqul-qalbi, adalah syarat bagi tegak yang lain. Juga demikianlah apabila hilang amalan-amalan hati, menurut ketetapan Ahlus-Sunnah.

Setelah tetap hilang iman dengan hilangnya amalan-amalan hati, tiadalah diherankan lagi hilangnya iman dengan sebab hilangnya sebesar-besar amalan anggota.

Kufur terbagi kepada kufur-juhudi dan kufur-amali.

Kufur-juhudi ialah mengkufuri (mengingkari) segala apa yang diketahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah mendatangkannya serta menentangnya, seperti mengingkari nama-nama Allah s.w.t. atau sifat-sifatNya.

Kufur-juhudi ini dinamai juga dengan kufur-i'tiqadi.

Kufur-juhudi (kufur-i'tiqadi) ini menentang iman, meniadakan iman.

Kufur-amali ialah tidak mengerjakan yang diperintah atau mengerjakan yang dilarang.

Kufur-amali ini ada yang menentang iman, seperti bersujud kepada berhala, menghina Al-Quran, membunuh Nabi atau menyakitinya.

Dan ada pula yang tidak menentang iman, tidak mengeluarkan yang mengerjakannya dari agama, seperti membunuh, mencuri, berzina, meminum arak dan sebagainya. Orang yang melakukan ini walaupun dipandang dan dihukum kufur tidak keluar dari millah (agama).

Meninggalkan solat termasuk kepada kufur-amali.

Walhasil kufur itu bertingkat-tingkat seperti nifaq, syirik, fusuq dan dhulm, yang masing-masingnya bertingkat tingkat juga.

Dengan singkat dapatlah disimpulkan kufur-i'tiqadi adalah lawannya iman-i'tiqadi dan kufur-amali adalah lawannya iman-amali.

Kufur dan iman, fujur (fusuq) dan taqwa, syirik dan tauhid, nifaq dan iman, terkadang semuanya berkumpul pada seorang manusia.

Tentang mungkin berkumpul yang semua ini pada sesorang, telah dibenarkan oleh Ahlus-Sunnah kerana telah ditunjuki oleh Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma'us-sahabah. Tetapi golongan khawarij dan qudriyah tidak memberatkan ini.

Berkatalah Al-Imam Ahmad:

"Orang yang berzina, mencuri, meminum arak dan merampas, aku pandang muslim, tetapi bukan mukmin. Orang yang mengerjakan yang di bawah itu yakni yang bukan dosa besar aku namai mukmin naqishul-iman (mukmin yang kurang iman).

Dari bermacam-macam keterangan ini kita memperolehi ketegasan bahawa seluruh maksiat dipandang dan dihukum cabang kufur dan bahawa seluruh taat dipandang dan dihukum cabang iman.

Maka, seseorang manusia terkadang-kadang berdiri padanya satu, dua atau tiga cabang iman dan dinamai mukmin, terkadang tidak dinamai mukmin.

Tidak harus dari terdapat sesuatu cabang iman pada seseorang dinamai orang itu mukmin, seperti tiada lazim dari terdapat sesuatu cabang kufur pada seseorang dinamai orang kafir. Hanya dikatakan ia telah membuat perbuatan kufur, sebagaimana Rasulullah s.a.w. jelas menerangkan dengan hadisnya:

"Barangsiapa meninggalkannya (solat) maka sungguh telah kufur ia" (yakni mengerjakan perbuatan kufur). Riwayat Ibnu Hibban; At-Targhib 1:348).

Kerana itu, seseorang yang terbit dari padanya sesuatu perbuatan kufur, tiadalah ia terus menerima cap (nama) kafir.

Seseorang yang mengerjakan pekerjaan yang haram, dikatakan telah membuat fusuq, tidak terus dinamai fasiq. Sesudah banyak fusuqnya, baharulah dinamai fasiq.

Demikianlah dengan penzina, pencuri, peminum arak dan perampas, tiada dinamai lagi mukmin, walupun ada padanya iman dan tidak dinamai kafir, walaupun ia ada mengerjakan perbuatan kufur.

Dengan keterangan yang ringkas ini teranglah bahawa orang yang terus menerus meninggalkan solat, tiada dinamai kafir dan tiada pula dinamai mukmin. Tetapi dapatkah iman yang ada padanya mengeluarkan ia daripada neraka? Ini suatu masalah lain.

Orang tidak mengerjakan solat, tidak dibunuh hanya dita'zirkan sahaja.

"Maka jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, maka lepaskanlah mereka". (Surah At-Taubah ayat 12).

Firman Allah s.w.t. ini tidak memerintahkan kita membunuh orang yang tidak mengerjakan solat dan tidak pula menunjukkan bahawa seorang Islam apabila meninggalkan solat kerana malas telah menjadi murtad; apabila tidak bertaubat langsung dipermulaan fardu yang ia hadapi sesudah disuruh bertaubat itu, dibunuh.

Ayat Allah s.w.t. ini menyuruh supaya kita berhenti dari memerangi orang musyrikin, apabila mereka telah melaksanakan tiga perkara yang tersebut di atas.

Rasulullah s.a.w. bersabda pula:

"Aku disuruh supaya memerangi manusia (orang-orang musyrik), sehingga mereka mengucapkan "Lailahailallah", mendirikan solat dan mengerjakan zakat". (Riwayat An-Nassay dari Ibn Umar; An-Nail 1:364).

Hadis inipun tidak menunjuk kepada wajib membunuh orang yang tidak bersolat, hanya menunjuk kepada wajib memerangi orang musyrikin, sehingga mereka melafazkan kalimat tauhid, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Kalau sudah demikian, mereka tidak diperangi lagi.

5 comments:

  1. sy pernah tngok kwn sy solat dgn laju skali shingga sy pelik bagaimana dia membaca perkara2 dlm solat tuh..tk sampai 2minit siap..tp owg nye macam tau selok belok agama..sah ke solat mcm tu?

    ReplyDelete
  2. wajib memelihara khusyuk dalam solat, fikirkan kita sedang menyembah Allah yang maha besar dengan rasa takut dan rasa harap... pelajari makna setiap bacaan yang dibuat...

    ReplyDelete
  3. betul 2! solat itu kan tiang agama.. tak kn lah x bleh melakukannya.. lagi pun.. solat kan amalan yang pertama di hisab di hari akhirat nanati.. saya menyeru agar jaga lah solat anda... ALLAHUAKBAR!

    ReplyDelete
  4. AnonymousMay 23, 2010

    betul 2..untuk menjamin ibadat solat kita berkualiti mestilah ada kekusyukkan dan ketenangan yg mendalam..sebab ibadat solat berbeza dgn ibadat2 lain..ibadat solat adalah ibadat yg menghubungkan seorang hamba dgn Pencipta-Nya secara online(terus menerus tanpa pghalang)waktu solat la kita dapat bermunajat dgn ALLAH S.W.T dgn memuji-Nya..memohon sgala2nya kepada ALLAH S.W.T..Perlulah diingat..byak ayat Al-quran yg menegaskan ttg kerugian n kecelakaan bagi orang yg mninggalkan solat (termasuk org2 yg lalai dlm mnunaikan solat)..jgan jadikan kita spt sikap org munafik..apabila diseru menunaikan solat..mereka akan datang dalam keadaan yg malas..perlu jgk diingatkan..dalam solat ada rukun-rukun yg wajib diikuti..tomakninah adalah salah satu rukun yg ada dalam solat..kbyakkan kita selalu terlepas pandang dgn tomakninah..selalu melakukan solat dgn cepat..shgga tidak dapat membezakan stiap rukun dlm solat terutamanya tokmaninah..maka..solat dgn laju n cepat kadangkala boleh mnyebabkan batal solat kita jika bertentang dgn rukun solat..wallaualam..

    ReplyDelete
  5. Pertama semasa di Mahsyar kelak Allah swt akan periksa aqidah seseorang itu. Jika aqidah FAIL, terus humban ke JAHANNAM. Sesiapa yang aqidah PASS barulah hisab amal bermula dan ia dimulai dengan solat.

    Solat bagaimana yang diterima, pastilah yang mengikut aturan yang dibawa Rasulallah saw. Maka, bagi mereka yang solat silakan periksa amalan solat kalian sama ada menepati sunnah atau tidak. Upgrade solat dengan cara refer kepada hadis sahih bukan cukup berpada dengan solat semasa belajar disekolah rendah atau berpada mengikut orang ramai tanpa dalil.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete