Friday, January 23, 2009

Sebut Allah Secara Lisan

Salam

Jika seseorang itu menyebut 'ALLAH' secara lisan ketika solat yang mana sebutan tersebut tidak termasuk dalam bacaan solat, adakah batal solatnya? Begitu juga dengan sebutan-sebutan yang lain seperti 'astaghfirullah', 'subhanallah', adakah batal solatnya?

******************izrail
Panel Feqh
Bismillah
Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah SAW,

Sebutan seperti 'Allah', 'astaghfirullah' dan 'subhanallah' adalah termasuk dalam kategori doa dan zikir yang tidak membatalkan solat.

Ini jika sebutan itu dengan tujuan untuk berzikir, berdoa atau membaca Al-Quran, jika ia disebut dengan sengaja dan saja-saja tanpa sebarang tujuan, maka ini termasuk percakapan yang membatalkan solat.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya solat ini tidak boleh di dalamnya percakapan manusia; kerana solat itu ialah tasbih, takbir dan membaca Qur'an." (H.R Muslim)

Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya:

"Rasulullah SAW pergi ke kampung Bani 'Amru bin 'Auf untuk mengadakan perdamaian sesama mereka. Kebetulan waktu solat tiba.

Muadzin datang kepada Abu Bakar dan berkata, "Mahukah kamu mengimami solat?"Biarlah aku yang qamat." "Baiklah!" jawab Abu Bakar. Ketika Abu Bakar sedang solat. Tiba-tiba Rasulullah SAW datang dan terus maju hingga sampai ke saf (pertama).

Orang-orang bertepuk, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Ketika tepukan tangan bertambah banyak barulah dia menoleh dan terlihat kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memberi isyarat kepada Abu Bakar supaya dia tetap ditempatnya. Tetapi Abu Bakar mengangkat tangannya dan memuji Allah 'Azza wa Jalla atas suruhan Rasulullah SAW itu. Kemudian dia mundur hingga sejajar dengan saf, sedangkan Rasulullah SAW maju ke depan mengimami solat selanjutnya.

Setelah selesai solat, baginda bertanya kepada Abu Bakar, "Hai, Abu Bakar! Apa sebabnya kamu tidak mahu, ku suruh tetap ditempatmu menjadi imam?"

Jawab Abu Bakar, "Tidaklah elok bagi anak Abu Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah SAW."

Kemudian baginda bertanya kepada jama'ah, "Aku lihat kamu semua ramai bertepuk tangan, mengapa? Siapa yang hendak mengingatkan sesuatu dalam solat hendaklah dia tasbih (membaca 'subhanallah') kerana apabila dia tasbih orang akan melihat kepadanya. Sedangkan bagi kaum wanita bertepuk tangan." (H.R Bukhari & Muslim)

Jumhur Ulama membenarkan tasbih dan tahmid selain dari waktu rukuk dan sujud, samada dengan tujuan mengingatkan orang lain ataupun tidak. (al-Majmu':4/93-99)

Wallahu a3lam

No comments:

Post a Comment